KUALA LUMPUR – Peristiwa tidak disangka-sangka menimpa penulis apabila berdepan dengan penipuan dalam talian (scammer online banking).

Peristiwa ini berlaku pada Sabtu lalu ketika penulis mahu menyemak baki dalam akaun bank menggunakan komputer riba.

Seperti biasa, carian di Google untuk ke Maybank tanpa sedar ia membawa ke laman web palsu yang seakan-akan laman web sebenar.

Tanpa mengetahui pada mulanya ia adalah laman web palsu, penulis memasukkan username dan password seperti biasa.

Tiba-tiba telefon bimbit menunjukkan ada transaksi dengan jumlah besar dibuat kepada satu laman web e-dagang berserta dengan Kod Pengesahan Transaksi (TAC).

Laman web itu mengarahkan nombor itu dimasukkan untuk membolehkan saya mengakses akaun saya.

Ekoran daripada tindakan itu, sejumlah wang dipindahkan daripada akaun saya ke akaun e-dagang itu.

Tidak tahu hendak membuat apa, penulis menghubungi pihak bank dan dimaklumkan ada transaksi sejumlah wang dijalankan.

Kemudian pihak bank mengarahkan agar sistem perbankan online disekat juga tindakan sana dibuat keatas kad bank.

Pihak bank menasihatkan agar penulis membuat laporan polis sementara pihaknya membuat siasatan terhadap kes itu.

Dua hari selepas itu, pihak bank menghubungi saya dan memaklumkan bahawa wang itu telah digunakan oleh pihak lain untuk online gaming (permainan atas talian).

Maklum mereka, pihak bank akan cuba untuk mendapatkan baki wang tersebut sekiranya ada.

Di sini, pihak MalaysiaGazette ingin menasihatkan agar semua pengguna perbankan dalam talian agar berhati-hati dalam membuat sebarang transaksi perbankan dalam talian.

Segala informasi dalam laman web tersebut perlu diteliti dahulu dan sentiasa memastikan informasi yang diberikan oleh pihak bank tidak dikongsi kepada mana-mana pihak.

Ingat sebelum kena, dan sentiasa berwaspada dalam melakukan sebarang transaksi kewangan melalui perbankan dalam talian. – MalaysiaGazette