Antara pelakon yang menjayakan filem ‘Nian-tastic New Start’ dijadualkan ditayangkan hari ini di Youtube dan saluran TV bermula 10 Februari ini.

KUALA LUMPUR – Memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berlarutan menghalang semua penganut agama menyambut perayaan masing-masing, pelbagai pihak mengambil inisiatif memeriahkan sambutan itu secara sederhana.

Bagi masyarakat Tionghua, disebabkan Tahun Baru Cina disambut pada 12 Februari ini iaitu masih dalam tempoh PKP atau PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) maka sambutan besar-besaran tidak dibenarkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Justeru, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil tanggungjawab untuk memeriahkan sambutan itu dengan caranya tersendiri.

Bagi menjayakan hasrat itu, TNB akan memeriahkan Tahun Baru Cina 2021 dengan menayangkan sebuah filem pendek menerusi saluran Youtube yang mengimbau semula cerita rakyat mengenai raksasa mitos Nian.

Filem Nian-Tastic New Start yang ditampilkan dengan sentuhan jenaka itu dikatakan berkisar mengenai sejenis raksasa yang mengganggu orang ramai pada setiap malam Tahun Baru Cina.

Menerusi filem itu, TNB berharap dapat mencetuskan tenaga positif bagi tahun baru ini ekoran pelbagai cabaran dihadapi akibat pandemik Covid-19.

Menurut Ketua Pegawai Perkhidmatan Koporat TNB yang baharu, Mohamad Ariff Zainol, ramai mahu permulaan baharu tahun 2021 ini dan menerusi filem berkenaan, pihaknya hendak memberi inspirasi kepada mereka untuk meraikan Tahun Baru Cina dengan semangat kegembiraan dan perpaduan.

Mohamad Ariff Zainol

Katanya, dengan tenaga yang positif, mereka boleh bersama-sama mengharungi sebarang cabaran.

Jelas beliau, filem pendek yang sarat dengan nasihat dan cerita rakyat itu mengetengahkan semangat kegembiraan dan perpaduan yang menjadi asas kepada tradisi Tahun Baru Cina, menerusi kisah legenda Nian dengan pendekatan berbeza.

“Dalam filem sentuhan pengarah berkaliber, Quek Shio Chuan ini, sekumpulan penduduk kampung yang ketakutan pergi mengembara bagi mendapatkan pertolongan seorang mahaguru yang bijaksana dengan anggapan dia mengetahui rahsia cara mengalahkan Nian untuk mengembalikan keharmonian dan kesejahteraan kampung mereka.

“Bagaimanapun, mereka terkejut apabila mengetahui mereka sudahpun mempunyai kuasa untuk mengalahkan raksasa itu selama ini, iaitu dengan bersatu sebagai satu komuniti serta mempamerkan semangat kegembiraan dan sikap positif untuk menghadapi raksasa berkenaan.

“Mahaguru yang bijaksana itu mengajar mereka kunci untuk mengalahkan raksasa itu, adalah menakutkannya dengan warna merah, bunyi yang kuat serta cahaya yang terang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Mohamad Ariff, ia dikatakan menjadi permulaan kepada banyak tradisi seperti berpakaian merah, berkumpul dengan keluarga, menghasilkan bunyi yang kuat dengan bermain gendang dan menyalakan mercun serta menghiasi kediaman dengan tanglung berwarna merah yang terang untuk menakutkan Nian.

Padat dengan aksi luar biasa dan gelagat menggelikan hati, filem yang menggabungkan pendekatan moden dengan gaya drama zaman lalu telah dihasilkan sebelum PKP 2.0 lagi dengan pematuhan SOP yang ketat.

Ia juga katanya, menampilkan kameo pemegang rekod Guinnes World Records tajaan TNB, Soh Wai Ching yang telah memecah rekod dunia untuk Pendakian Tangga Menegak Terhebat dalam Satu Jam (Lelaki) pada November tahun lalu.

Kata beliau, filem Nian-tastic New Start dijadualkan ditayangkan hari ini di Youtube (www.youtube.com/TENAGAofficial) dan akan disiarkan di saluran TV bermula 10 Februari ini.

“Ia juga akan disusuli dengan iklan cetak yang unik di semua akhbar utama bahasa Inggeris dan Cina,” katanya.

Penonton boleh mengetahui lebih lanjut mengenai watak-watak dalam filem tersebut menerusi platform media sosial TNB (Facebook dan Instagram), selain filter khas di Instagram menerusi carian ‘Niantastic’, ‘CNY 2021’ dan ‘TNB CNY.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast