Kelihatan beberapa penumpang yang telah tiba di lapangan terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah. Sekatan Covid-19 baharu akan menghentikan semua pelancong yang merentasi antara 20 negara berkenaan. foto agensi

JEDDAH – Arab Saudi telah melarang kemasukan pelawat dari 20 buah negara bagi mengekang penyebaran koronavirus.

Namun pengecualian akan diberikan kepada diplomat, petugas kesihatan dan ahli keluarga mereka.

Sumber Kementerian Dalam Negeri menyatakan peraturan berkenaan berkuat kuasa pada jam 9 malam ini.

Negara yang terbabit adalah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Lebanon, Turki, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Jerman, Perancis, Itali, Ireland, Portugal, Switzerland, Sweden, Brazil, Argentina, Afrika Selatan, India, Indonesia, Pakistan dan Jepun.

Sementera itu, larangan juga dikenakan ke pelancong yang singgah di salah sebuah negara yang sudah disenaraikan dalam tempoh 14 hari sebelum tiba ke Arab Saudi.

Tindakan baharu ini diambil berikutan terdapat lonjakan kes Covid-19 global yang telah dikaitkan dengan penemuan varian baharu dari England, Afrika Selatan dan Brazil.

Para pekerja pejabat kesihatan juga diingatkan supaya mengetatkan langkah-langkah untuk mengekang penyebaran Covid-19.

Arab Saudi mencatat 310 kes baharu Covid-19 dan empat kematian dalam tempoh 24 jam laludengan jumlah kes keseluruhan sebanyak 368,639 kes dan 6,383 kes kematian. -MalaysiaGazette