Timbalan Ketua Kordinator Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia, Dr. Mai Sargeant bercakap kepada media selepas penyerahan Memorandum Rakyat Malaysia 3.0 kepada Sultan Selangor di pintu masuk Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 03 FEBRUARI 2021.

SHAH ALAM – Sebuah gabungan NGO merayu Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja mendengar rintihan suara rakyat yang hidup tertekan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pengisytiharan darurat oleh kerajaan.

Gabungan NGO yang mewakili lebih 100 pertubuhan dan badan bukan kerajaan di seluruh negara itu membuat rayuan itu menerusi memorandum rakyat yang setakat ini telah diserahkan kepada Tuanku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Perak, Sultan Selangor dan Yang Dipertua Sabah.

Menurut Timbalan Ketua Kordinator Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia, Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia (NGO Massa), Dr. Mai Sargeant, rakyat mengharapkan nasib mereka dibela oleh Majlis Raja-Raja, selepas kerajaan sekarang gagal berbuat demikian.

“Kami baru saja hantar memorandum rakyat kepada Istana Kayangan Shah Alam pagi ini. Harapan kami, baginda Sultan dapat melihat dan bertindak dengan belas kasihan terhadap nasib rakyat.

“Permintaan kami hanya untuk Majlis Raja-Raja menarik balik pelaksanaan PKP dan Ordinan Darurat yang diisytiharkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kira-kira dua minggu lalu.

“Ini suara rakyat. Kami mewakili lebih 100 NGO yang sudah menandatangani memorandum rakyat ini dan telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara minggu lalu, kepada Sultan Perak semalam, kepada Sultan Selangor dan Yang Dipertua Sabah hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar pekarangan Istana Bukit Kayangan di sini, hari ini.

Menurut Dr. Mai, beliau tidak mahu ada mana-mana pihak cuba mempolitikkan usaha gabungan NGO berkenaan yang cukup sedih dan prihatin dengan kesengsaraan hidup rakyat sejak PKP dilaksanakan Mac tahun lalu.

Katanya, beliau bersama rakan bangkit mewakili rakyat, bukan mana-mana parti politik dengan satu tujuan, iaitu menyampaikan suara rakyat kepada Majlis Raja-Raja dan Yang Dipertua Negeri.

“Maafkan kami Tuanku, niat kami cuma mengharapkan Majlis Raja-Raja prihatin dengan nasib rakyat. Kami marhaen, tidak berdaya. Jadi, kami minta kepada raja kami untuk mengambil berat mengenai rakyat.

“Kerajaan sekarang langsung tidak prihatin kepada rakyat. Tidak demokratik, rakyat tidak boleh bersuara kerana Parlimen telah digantung.

“Hanya kamilah yang berani tampil suarakan isi hati rakyat pelbagai kaum di negara ini kepada Tuanku baginda melalui Memorandum Rakyat ini,” katanya yang selepas ini akan terus menyerahkan kepada setiap sultan dan Yang Dipertuan Negeri.

Beliau tidak dapat membayangkan sekiranya PKP dan darurat diteruskan tanpa campurtangan Majlis Raja-Raja, yang mana rakyat akan terus hidup dalam kesengsaraan.

Dalam pada itu, Dr. Mai turut mempersoalkan kenapa kerajaan menggantung Parlimen, sedangkan itulah satu-satunya tempat rakyat bersuara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Darurat perlu sebab sebelumnya parliament bersidang dan gagal mengurangkan ingkar SOP membiakkan Covid-19 lebih-lebih lagi parliament juga gagal menjamin majority ekonomi untuk majority ekonomi pribumi Melayu sepertimana termaktub dalam hak perlembagaan keistimewaan Melayu.

Comments are closed.