Datuk Mohd. Yusoff Mahadi.
KUALA LUMPUR – Amateur Football League (AFL) hari ini secara rasmi mengumumkan bahawa pertandingan Liga M3 2021 yang pada asalnya dijadual bermula Mac ini akan dipinda ke satu tarikh baharu pada Jun depan.
Pengerusi AFL, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, pindaan berkenaan dibuat bagi memastikan kesihatan pemain dan pegawai serta perancangan pasukan yang bakal bertanding tidak terjejas berikutan situasi semasa pandemik Covid-19 yang masih belum pulih sepenuhnya.
“Walaupun kami ingin pertandingan Liga M3 musim 2021 ini dijalankan mengikut jadual awal seperti yang dirancang tetapi kesihatan serta keselamatan pemain dan pegawai pasukan adalah keutamaan buat kami di AFL,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun, menurut Mohd. Yusoff, pindaan ini tidak akan menjejaskan proses saringan serta pengesahan pasukan bertanding yang dijangka akan selesai awal Mac ini.
“Pengesahan awal ini akan memberi masa yang mencukupi untuk kesemua pasukan yang bertanding bersiap siaga dalam mengharungi saingan Liga M3 2021,” jelas beliau.
Selain itu, beliau memberitahu bahawa pindaan ini juga merupakan satu langkah proaktif bagi memastikan kelancaran semua aspek pertandingan termasuk pendaftaran pemain dan pasukan serta penjadualan perlawanan Liga M3 tidak terganggu.
“Kami (AFL) akan menggunakan waktu pindaan ini untuk melakukan saringan yang lebih teliti ke atas semua dokumen yang telah diserahkan oleh pasukan-pasukan.
“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, proses saringan ini adalah perlu sebagai langkah persediaan bagi menyiapkan mereka (pasukan) ke arah semi-pro selain untuk mengenal pasti pasukan terbaik dan kompetitif,” jelas beliau.
Tambah Mohd Yusoff, bagi saingan Liga M3 musim 2021 ini, AFL telah bersedia dengan beberapa format pertandingan dan akan meneliti dan memilih format yang terbaik selepas memuktamadkan jumlah pasukan yang layak dan melepasi syarat untuk bertanding. – MalaysiaGazette