MCO Kuala Lumpur KL The police and the armed force inspecting vehicles during a roadblock set up in conjuction with the Movement Control Order (MCO) to curb the spread of Covid-19 at Jalan Ampang, Kuala Lumpur. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 16 JANUARY 2021.
The police and the armed force inspecting vehicles during a roadblock set up in conjuction with the Movement Control Order (MCO) to curb the spread of Covid-19 at Jalan Ampang, Kuala Lumpur. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 16 JANUARY 2021.

KUALA LUMPUR – Affin Hwang Capital menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan berlegar sekitar 5.0 peratus tahun ini sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (MCO 2.0) dilanjutkan lagi selepas 18 Februari ini.

PKP 2.0 dijadualkan berakhir pada 4 Februari di semua negeri kecuali Sarawak, tetapi telah dilanjutkan sehingga 18 Februari.

Ketua ekonomi Alan Tan berkata, sekiranya PKP 2.0 diteruskan lagi melangkaui 18 Feb ini, pertumbuhan ekonomi akan menjadi perlahan tetapi keadaan ini diharapkan dapat diimbangi dengan rangsangan fiskal yang akan menyokong aktiviti ekonomi tahun ini.

“Dengan mengandaikan jumlah kes (COVID-19) terus meningkat dan prosedur operasi standard menjadi semakin ketat sehingga suku kedua tahun ini, kita akan melihat beberapa kesan daripada PKP 2.0 ini,” katanya dalam taklimat media secara maya di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau menambah dengan adanya perbincangan berkaitan pelancaran vaksin, rangsangan fiskal berserta persekitaran luaran yang lebih baik terutama yang disokong oleh pemulihan China, pertumbuhan KDNK Malaysia dijangka berada pada sekitar 5.0 peratus tahun ini berbanding penguncupan 5.0 peratus tahun lepas.

Mengenai kesan kedudukan fiskal daripada kemungkinan lanjutan PKP 2.0, Tan menjangkakan defisit fiskal akan meningkat menjadi enam peratus daripada KDNK tahun 2021 berbanding 5.4 peratus yang diunjurkan oleh kerajaan.

“Dengan mengandaikan PKP 2.0 dilanjutkan ke bulan Mac, kemungkinan beberapa langkah rangsangan akan diperkenalkan.

“Kemungkinan langkah-langkah ini dijangka dapat mengekalkan defisit fiskal pada 6.0 peratus daripada KDNK tahun ini, sama seperti jangkaan bagi tahun 2020,” tambah beliau.

Tan turut berkata kemungkinan berlakunya kemerosotan defisit fiskal ini tidak akan mempengaruhi penarafan oleh S&P Global Ratings, yang dijangka diumumkan dalam waktu terdekat.

“Kami berpendapat bahawa S&P akan lebih memberi fokus kepada prospek pertumbuhan ekonomi daripada hanya berfokus kepada kemerosotan fiskal.

“Itulah sebabnya kami berharap S&P akan mengekalkan penarafan  A-,” katanya.

Mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) pula, Tan menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mengekalkan kadar faedah penanda aras pada 1.75 peratus tahun ini berikutan pengurangan 125 mata asas yang berlaku pada tahun 2020.

“Jawatankuasa Dasar Monetari dalam mesyuaratnya baru-baru ini menyatakan tahap semasa 1.75 peratus itu boleh menyokong pertumbuhan ekonomi.

“Oleh itu, kami percaya bank pusat cenderung untuk mengekalkan kadar pada 1.75 peratus (untuk tahun ini),” katanya.

Berkenaan prestasi ringgit, Tan berkata Affin Hwang Capital meramalkan unit tempatan berada pada paras 4.10 berbanding dolar AS menjelang akhir 2021 daripada unjuran 4.02  tahun lepas.

“Kami percaya ekonomi Amerika Syarikat telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan dan rancangan pakej rangsangan di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden juga akan membantu dalam pemulihan ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette