KUALA LUMPUR – Indeks nilai seunit eksport dan import masing-masing bertumbuh 1.0 peratus dan 0.4 peratus pada Disember 2020 berbanding pada bulan sebelumnya.
Kenaikan indeks nilai seunit eksport disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+7.7%), minyak galian (+5.0%) dan barang-barang keluaran kilang (+0.6%).
Indeks volum eksport turut bertumbuh 11.9% berbanding bulan sebelumnya yang disumbangkan oleh prestasi yang lebih baik bagi indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+49.0%), minyak galian (+16.6%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+8.7%).
Indeks volum eksport pelarasan bermusim mencatatkan pengembangan 12.2% daripada 139.9 mata kepada 157.0 mata.
Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit eksport jatuh 3.0% manakala indeks volum eksport naik 14.2%.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit import pula berkembang  0.4% pada Disember 2020 berbanding bulan sebelumnya.
Pengembangan ini disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+7.7%), minyak galian (+6.5%) dan barang-barang keluaran kilang (+0.5%).
Indeks volum import turut bertumbuh 10.5% yang disumbangkan oleh prestasi lebih baik bagi indeks bahan kimia (+14.3%), barang-barang keluaran kilang (+11.1%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+10.3%).
Indeks volum import pelarasan bermusim pada Disember 2020 naik 12.4% daripada 131.8 mata kepada 148.1 mata.
Menurutnya, berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit import menyusut 4.2% manakala indeks volum import
meningkat 6.0%.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut melaporkan terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 0.6% bulan ke bulan daripada 99.6 mata kepada 100.2 mata pada Disember 2020.
Berasaskan tahun ke tahun, terma perdagangan Malaysia turut menunjukkan trend yang sama pada 1.3% daripada 99.0 mata kepada 100.2 mata pada Disember 2020. – MalaysiaGazette