Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar Musa, Menteri Wilayah Persekutuan (tengah) menyerahkan lesen perniagaan kepada Mohd. Shahrul Naim Bin Abdullah, 23, yang mewakilkan abangnya ketika Majlis Penyerahan Lesen Perniagaan KL Prihatin di Jalan Tengah, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 08 FEBRUARI 2021

KUALA LUMPUR – Selepas mengumumkan projek pembinaan Residensi Prihatin membabitkan 12,000 unit kediaman di sekitar Putrajaya pada 22 Februari ini, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) merancang untuk membina 8,000 unit rumah sama di sekitar Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia melibatkan lima pemaju yang akan dibangunkan kediaman di beberapa kawasan di ibu negara.

“Yang 8,000 yang melibatkan 5 pemaju itu kita harap disiapkan dalam masa yang cepat, tapi kita mahu kawal dan buat beberapa kaedah untuk mengawal kualiti pembangunan dan yang lain memakan masa sedikit untuk proses memilih,” katanya selepas majlis Penyerahan Lesen Prihatin Perniagaan di bawah KL Prihatian di Jalan Tengah, di sini hari ini.

Sebanyak 39 lesen prihatain diagihkan kepada peniaga di sekitar kawasan itu bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan yang sah.

Pada Sabtu lalu, Annuar berkata, semua unit kediaman yang dibina di beberapa lokasi di Putrajaya akan dijual pada harga bawah RM200,000 dan ia dijangka siap dalam tempoh 24 hingga 30 bulan.

Katanya, 12,000 unit kediaman itu adalah projek perintis Residensi Prihatin sebelum ia diteruskan di Labuan dan Kuala Lumpur yang membabitkan sembilan lokasi.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (dua kiri) beramah mesra bersama peniaga kecil Majlis Penyerahan Lesen Perniagaan KL Prihatin di Jalan Tengah Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 08 FEBRUARI 2021.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (dua kiri) beramah mesra bersama peniaga kecil Majlis Penyerahan Lesen Perniagaan KL Prihatin di Jalan Tengah Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 08 FEBRUARI 2021.

Pendaftaran bagi unit dibawah skim itu akan dibuka mulai 23 Februari ini.

Bercakap mengenai Lesen Prihatin, Annuar berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mengambil pendekatan untuk membenarkan peniaga-peniaga menjalankan perniagaan namun mereka perlu memohon lesen daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Mereka semua buat permohonan lesen, bukan kata tidak perlu lesen, kita kata mereka bebas berniaga erti kata kita menggalakkan mereka berniaga tapi mereka masih kena melaporkan dan buat permohonan secara dalam talian.

“Lesen prihatin ini diberikan, saya temui 80 peratus peniaga muda ada yang berusia 21 tahun ke atas, kalau mereka dan berani menceburkan diri kita harap mereka teruskan tidak semestinya sementara,” katanya.

Annuar berkata, antara 3,000 hingga 4,000 peniaga telah mendaftar program Lesen Prihatin yang digerakkan KWP sejak November tahun lalu menerusi program inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (WBB). – MalaysiaGazette