Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menarik semula kenyataan yang mendakwa terdapat kemungkinan pegawai tertinggi kerajaan sabotaj kerajaan berikutan pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan perkhidmatan awam.

Presidennya, Adnan Mat berkata, perkara itu tiada dalam konteks apa yang cuba disampaikan oleh kongres tersebut.

“Dalam hal ini kami mengakui tiada pegawai kerajaan yang bertindak mensabotaj kerajaan.

“Malahan semua penjawat awam semakin fokus dalam membantu rakyat bagi menangani cabaran Covid-19,” katanya pada sidang media di ibu pejabat CUEPACS hari ini.

Menurut Adnan, keputusan menarik balikĀ  kenyataan itu dicapai dalam mesyuarat jawantankuasa tertinggi CUEPACS pada Jumaat lalu.

Adnan berkata, pihaknya telah meneliti semula kenyataan yang dikeluarkan menerusi sidang media mengenai penguatkuasaan pekeliling perkhidmatan pada 28 Disember 2020 dan 5 Januari lalu yang boleh mewujudkan tanggapan negatif masyarakat.

“Wujud sedikit salah tanggapan tidak sebagaimana kami sebenarnya ingin maksudkan kepada umum, maka kami menarik semula kenyataan yang mendakwa kemungkinan wujud pegawai tertinggi kerajaan sabotaj kerajaan semasa melalui pekeliling.

“Kami akui tiada pegawai kerajaan yang sabotaj malah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah membentang dan menjelaskan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai penguatkuasaan pekeliling perkhidmatan itu termasuk kepada CUEPACS,” katanya sambil memohon maaf di atas kekhilafan yang berlaku. – MalaysiaGazette