Petugas hospital membawa mayat yang menghidap wabak Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Jumlah kes jangkitan baharu positif Covid-19 yang dilaporkan hari ini adalah sebanyak 2,998 kes.

Daripada jumlah itu, 2,991 kes adalah daripada penularan tempatan manakala tujuh lagi kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kematian yang direkodkan pula sebanyak 22 kes, kedua tertinggi berbanding 24 kes pada 8 Februari lalu.

Menurutnya,  231 kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi dan 115 lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selangor kekal merekodkan kes harian tertinggi berjumlah 1,382 kes diikuti Johor (436), Kuala Lumpur (226), Negeri Sembilan (233), Sarawak (200), Perak (99), Sabah (94), Terengganu (91), Pulau Pinang (92), Kelantan (72), Kedah (36), Melaka (20), Pahang (14), Putrajaya (2), dan Labuan satu kes.

Perlis pula tidak mencatatkan sebarang kes hari ini.

Kes sembuh pula direkodkan adalah sebanyak 5,708 yang hampir menyamai kes sembuh semalam 5,718 pesakit.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes sembuh setakat ini adalah 229,762 kes.

Jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 272,163 kes. – MalaysiaGazette