Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 594 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dengan 569 daripadanya dikenakan kompaun, manakala 25 lagi individu direman.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada penjarakan fizikal antara pelanggaran SOP paling tinggi dikesan melibatkan 144 individu dalam operasi pematuhan yang dijalankan pihak polis, semalam.

“Kesalahan rentas daerah/negeri tanpa kebenaran antara kategori kedua paling tinggi melibatkan 127 individu, diikuti dengan tidak memakai pelitup muka (77) dan gagal menyediakan peralatan atau merekod diri atau pelanggan (74).

“Turut ditahan ialah kesalahan keluar rumah tanpa alasan munasabah (57), membawa penumpang berlebihan (31), aktiviti pusat hiburan (23), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (5), aktiviti sukan (17), ingkar arahan kuarantin (1) dan lain-lain (38),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam Operasi Benteng (Op Benteng) pula, pihak berkuasa menahan lima pendatang tanpa izin (PATI) dan merampas tiga kenderaan darat.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan tiga bot/kapal di perairan negara dan sebuah kenderaan darat melalui dua aktiviti penglihatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette