Michael Taylor. foto Agensi

WASHINGTON – Seorang bapa warga Amerika Syarikat (AS) dan anak lelakinya yang dituduh menolong bekas Pengerusi Nissan Motor Co Ltd, Carlos Ghosn melarikan diri daripada perbicaraan di Jepun telah meminta Setiausaha Negara AS, Antony Blinken untuk menghentikan ekstradisi mereka ke Jepun.

Permohonan itu dibuat selepas Mahkamah Agung AS pada Sabtu lalu menolak permintaan darurat oleh peguam untuk Michael Taylor dan anaknya, Peter Taylor,  untuk diekstradisi.

Michael adalah veteran pasukan khas tentera AS.

Artikel berkaitan:Pengerusi Nissan ditahan

AS tahan 2 individu bantu Ghosn lari dari Jepun

Gambar individu didakwa bantu Ghosn melarikan diri dirakam CCTV

Saya perlu pilih antara mati atau lari – Ghosn

Carlos Ghosn naik kereta api laju sebelum ke Lubnan

Ghosn keluar rumah seorang diri

Interpol serah notis merah untuk Ghosn

Dalam sepucuk surat kepada Blinken yang dilihat oleh Reuters, peguam-peguam dua beranak itu menyatakan mereka tidak percaya ada alasan yang baik untuk AS menyerahkan rakyatnya”.

Setakat ini Jabatan Kehakiman enggan memberi kenyataan.

Surat itu mencadangkan tuduhan terhadap kedua-dua lelaki itu “menjelaskan Kerajaan Jepun mahu menyelamatkan ‘wajah’ atau setidak-tidaknya dianggap melakukan sesuatu untuk mengatasi rasa malu mereka.”

Surat itu juga meminta agar ekstradisi ditangguhkan, setidak-tidaknya sehingga kedua-dua lelaki tersebut menerima dos vaksin Covid-19.

Peguam mereka berpendapat, Michael dan anaknya mungkin tidak mendapat keadilan daripada Jepun  dan jika diekstradisi, mereka menghadapi prospek untuk disoal dan diseksa tanpa henti.

Mahkamah Rayuan Persekutuan di Boston telah menolak permohonan untuk tidak mengekstradisi dua beranak itu.

Malah, Jabatan Negara telah meluluskan ekstradisi mereka pada bulan Oktober tahun lalu.

Mereka ditangkap pada bulan Mei atas permintaan Jepun setelah dituduh membantu Ghosn melarikan diri daripada perbicaraan di Jepun.

Pada 29 Disember 2019, mantan eksekutif itu melarikan diri dengan bersembunyi di dalam kotak dan jet peribadi sebelum sampai ke Lubnan, yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Jepun.

Ghosn sedang menunggu perbicaraan atas tuduhan melakukan kesalahan menyalahgunaan dana kewangan syarikat namun Ghosn menafikan kesalahannya.

Pendakwa raya mengatakan Michael, pakar keselamatan swasta berusia 60 tahun, dan Peter, 27, menerima AS$ 1.3 juta untuk perkhidmatan mereka.- MalaysiaGazette