Gambar hiasan

PULAU PINANG – Gerakan menyatakan keazamannya untuk bertanding di sesetengah kerusi di Pulau Pinang menggunakan panji Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, pihaknya akan mengadakan rundingan dengan Pengerusi Bersatu Pulau Pinang, Datuk Shabudin Yahaya mengenai isu pengagihan kerusi.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Gerakan memberitahu Kwong Wah Yit Poh,  partinya masih menjadikan Pulau Pinang sebagai “negeri barisan hadapan” walaupun selepas menyertai PN.

“Strategi Gerakan ini tidak berubah, tetapi kami belum berunding bersama rakan sekutu lain untuk bekerjasama dengan mereka dalam melaksana strategi ini,” katanya mengulas tentang strategi yang akan digunakan.

Beliau bagaimanapun mengakui sesetengah kerusi di Pulau Pinang sedang diintai banyak pihak, sama ada dari PN ataupun Barisan Nasional (BN).

“Masih terlalu awal untuk bercakap bagaimana kerusi-kerusi ini diagihkan,” katanya.

Menurutnya, sebagai parti dengan identiti majmuk di Semenanjung, Gerakan harus diberi peranan untuk mendapat sokongan pengundi bukan Melayu dan mengisi jawatan politik tertentu dalam keadaan kekurangan pemimpin Persekutuan bukan Melayu di negeri tertentu, termasuk di Pulau Pinang.  – MalaysiaGazette