Pengasas dan Pengerusi Al-IkhsaN Sport Sdn. Bhd, Ali Hassan Mohd Hassan pada temubual bersama Malaysia Gazette di Plaza Vads, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 22 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Ketika usahawan lain lebih gemar mempopularkan diri mereka di media sosial, lain pula dengan pengasas kedai barangan sukan terkenal, Al-Ikhsan yang memilih berada di belakang tabir.

Ali Hassan Mohd Hassan yang juga Pengerusi Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd (Al-Ikhsan) berkata, beliau tidak perlu mencari populariti untuk dirinya, sebaliknya lebih selesa dengan cara sendiri sebagai usahawan yang memiliki butik sukan dan menjual barangan.

Tegas anak kelahiran Skudai, Johor ini, apa yang perlu dipopularkan adalah butik sukannya agar lebih ramai pelanggan datang membeli-belah.

“Setiap individu ada caranya tersendiri, saya berniaga Al-Ikhsan dan perniagaan saya Al-Ikhsan Sport. Jadi bisnes saya barang sukan, bagi saya perlu popularkan kedai saya. Saya tidak perlu popularkan diri saya.

“Untuk apa saya perlu popularkan diri saya, tidak ada faedah kerana bukan orang dapat jumpa saya.

“Mereka hendak beli barang dan mesti pergi ke kedai. Jadi kita patut popularkan kedai kita, bukan diri sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette di ibu pejabat Al-Ikhsan di Taman Tun Dr Ismail di sini hari ini.

Pengasas dan Pengerusi Al-Ikhsan Sport Sdn. Bhd, Ali Hassan Mohd Hassan bercakap pada temubual bersama Malaysia Gazette di Plaza Vads, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 22 FEBRUARI 2021.

Ali Hassan mula menceburi bidang perniagaan dengan modal kecil menjual barang-barang sukan secara kecil-kecilan kepada rakan-rakan dan pensyarah beliau semasa menuntut di Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Johor.

Pada tahun 1993, dia memulakan perniagaan menjual barangan sukan di ruang sempit di Holiday Plaza Johor Bahru.

Usaha gigihnya itu berbaloi apabila kejayaan demi kejayan dikecapi dan sehingga kini Al-Ikhsan telah memiliki sekitar 135 cawangan di Semenanjung Malaysia.

Mengulas lanjut, Ali yang merupakan anak bongsu daripada lapan beradik berkata, usahawan perlu faham untuk apa mereka berniaga.

Jelas beliau, popular tidak akan membawa apa-apa makna selepas meninggal dunia namun populari butik Al-Ikhsan akan kekal selamanya pada masa depan.

“Itu kita kena faham, untuk apa kita berniaga. Esok kalau saya mati, kedai masih berjalan dan kalau saya mati, popular itu masuk dalam kubur sekali apa faedahnya.

“Kalau awak hendak popularkan diri awak, apa yang hendak jual dari diri awak itu. Contoh apa hendak jual servis awak. Tapi industri saya ada kedai dan jual barang.

Ketua Pembangunan Perniagaan Jenama Al-Ikhsan Sports, Anwar Mamtaj menunjukkan koleksi baju Sukma 2020 pada temubual bersama Malaysia Gazette di Plaza Vads, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 22 FEBRUARI 2021.

“Tapi katakan kalau saya seorang doktor pakar yang paling hebat di Malaysia mengenai jantung, jadi saya popular diri sebagai pakar jantung dan siapa hendak bedah jantung carilah saya, mungkin cara dia lain.

“Bagi saya tidak perlu, saya lebih kepada jual bisnes, jadi tak perlu popularkan diri saya,” katanya berterus-terang.

Sementara itu, pada Julai 2017, Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) telah membeli kepentingan dalam Al-Ikhsan membabitkan nilai RM68.6 juta.

Pada 2019, peruncit sukan ke-64 terbesar di dunia itu menjana jualan RM330 juta namun jualan itu merosot 18 peratus pada tahun lalu gara-gara penularan Covid-19 di mana butik mereka tidak boleh beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

Mengambil langkah pantas, Al-Ikhsan telah melancarkan platform e-niaga dalam talian terbarunya pada tahun lalu bagi menarik pelanggan mereka kekal membeli-belah di atas talian. – MalaysiaGazette

Kakitangan Al-IkhsaN Sport Sdn. Bhd, menyusun dan mengemas stok pakaian pada temubual bersama Malaysia Gazette di Plaza Vads, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 22 FEBRUARI 2021.