Asri Ali

KOTA BHARU – Kerajaan Pas Kelantan digesa supaya mengkaji semula penganugerahan kontrak atau tender bagi kerja mengorek pasir di sepanjang Sungai Kelantan kepada syarikat luar dari negeri itu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Putra Kelantan, Asri Ali berkata, masih ada syarikat tempatan yang dikendalikan anak jati beragama Islam layak mendapat tender itu, tetapi tidak diberikan keutamaan oleh kerajaan negeri.

Beliau memberi contoh, pada November 2016, kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa negeri telah meluluskan tawaran tender kepada sebuah syarikat dari Negeri Sembilan untuk tempoh 15 tahun bagi kerja mengorek pasir.

Katanya, had kawasan operasi untuk syarikat itu ialah sepanjang 15 kilometer bermula dari Kampung Pasir Kota di Kota Bharu hingga ke Kampung Kuala Sat, Tanah Merah bagi tempoh 15 tahun.

“Itu hanya satu syarikat sahaja yang kita tahu. Mungkin juga ada banyak lagi syarikat luar yang kita tidak tahu, tetapi telah dianugerahkan tender.

“Agak malang, syarikat luar mengaut keuntungan, penduduk tempatan di tebing Sungai Kelantan pula menjadi mangsa dengan kejadian tanah runtuh yang memusnahkan rumah dan harta benda.

“Di manakah kejujuran atau keadilan kerajaan Pas Kelantan terhadap pembelaan khusus kepada rakyat negeri itu?,” soal beliau dalam kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, lima daripada lapan rumah penduduk di Kampung Pohon Chelagi, Pasir Mas runtuh akibat hakisan tanah di sepanjang tebing Sungai Kelantan.

Semua penduduk yang tinggal berhampiran tempat kejadian telah diarah pindah dan ketika ini menumpang di rumah sanak saudara untuk tempoh yang tidak diketahui.

Menurut Asri, Putra bersama penduduk di situ sedang memikirkan sama ada wajar atau tidak mengambil tindakan di mahkamah atas kejadian itu yang dipercayai berpunca daripada kerja mengorek pasir.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau meminta kerajaan negeri sudah cepat memberi maklum balas kepada rakyat yang berdepan dengan masalah bekalan air bersih dan terawat.

Ujar beliau, setiap kali rakyat merungut keadaan air berwarna kuning, bekalan kadang-kadang terputus, tekanan terlalu rendah, pihak berkaitan dengan pengurusan sumber itu tidak pernah memberi tindak balas yang memuaskan hati.

“Malangnya, ada golongan ulamak dalam pentadbiran kerajaan negeri memberi jawapan dalam nada sindir, seperti rakyat boleh mandi air Sungai Kelantan atau gali telaga jika perlukan sumber air.

“Beginikah cara golongan berkenaan yang menerajui kerajaan negeri mengeluarkan kenyataan dalam menangani masalah dihadapi rakyat? – MalaysiaGazette