Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dalam sidang media mengenai suntikan vaksin Pfizer BioNTech Covid-19 di Pejabat Kesihatan Putrajaya Presint 11, Putrjaya. Foto AFFAN FAUZI, 24 FEBRUARI 2021.

PUTRAJAYA – Hampir 500,000 individu sudah mendaftar bagi Program Imunisasi Kebangsaan 2021, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Menurut Khairy Jamaluddin Abu Bakar, jumlah itu dicapai dalam tempoh 24 jam sahaja.

“Setakat jam 2.45 petang tadi, kita telah menerima 465,081 pendaftaran untuk vaksin Covid-19 setakat ini.

“Saya jemput orang ramai yang belum mendaftar untuk berbuat demikan dan kemaskini aplikasi MySejahtera selepas ini,” katanya dalam sidang media selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah disuntik dengan vaksin Pfizer BioNTech di sini hari ini.

Secara ringkasnya, menurut Khairy Jamaludin, individu yang ingin mendaftar perlu mengesahkan maklumat peribadi masing-masing dan menjawab beberapa soalan berkaitan dengan kesihatan diri.

Ia dijalankan bagi memastikan sama ada individu yang mendaftar itu sesuai atau tidak untuk menerima vaksin.

“Maklumat yang dihantar akan dipadankan dengan maklumat yang sudah terkumpul dalam aplikasi MySejahtera seperti rekod kesihatan. Sama ada telah mendaftar pada semalam mahupun hari ini tarikh serta masa untuk menerima vaksin masih tertakluk kepada fasa yang ditentukan,” katanya lagi.

Individu yang telah diluluskan untuk mendapatkan suntikan vaksin akan diberitahu dalam tempoh 14 hari daripada tarikh hari vaksinasi.

Khairy Jamluddin berkata, fasa kedua melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas dan individu berisiko tinggi bermula pada bulan April sementara fasa ketiga adalah bagi penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

“Sekiranya anda layak berada dalam fasa kedua, anda akan diberi temu janji lebih awal jika dibandingkan dengan mereka yang lain.

“Manakala bagi mereka yang lain pula, keutamaan pemberian vaksin pada fasa 3 adalah berpandukan zon lokasi tempat tinggal anda sama ada merah, kuning atau hijau sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Buku Panduan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19,” katanya lagi

Mengulas lanjut, sesiapa yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera akan turut boleh diberikan vaksin pada Mac akan datang. – MalaysiaGazette