Khairul Hazwan Mohd Rasit (kanan) membangunkan kereta perisai bertaraf antarabangsa merupakan alumni UTeM.

KUALA LUMPUR – Sebelum ini kita mendengar berita kejayaan anak tempatan menerusi MILDEF International Technologies membangunkan kenderaan berperisai mobiliti tinggi 4×4 untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Kejayaan itu memberikan impak langsung kepada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ekoran ketua jurutera yang terlibat dalam menjayakan projek itu merupakan alumninya, Khairul Hazwan Mohd Rasit – graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Automotif).

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, pihaknya teruja dengan pencapaian berprestij berkenaan kerana menggambarkan penzahiran peranan UTeM melahirkan graduan unggul dalam bidang teknikal kepada negara.

Jelas beliau, graduan UTeM juga turut menjadi buruan majikan dan industri pelbagai sektor dari seluruh dunia dan perkara ini selari dengan kedudukan UTeM yang kini berada pada kedudukan tiga teratas bagi kadar kebolehpasaran graduan dalam kalangan universiti awam dalam negara.

Khairul Hazwan Mohd Rasit (berdiri 3 dari kiri) bersama pasukannya yang membangunkan kereta perisai bertaraf antarabangsa baru-baru ini.

“Di samping itu pelaksanaan strategi dan formula khas UTeM turut berkait rapat dengan kejayaan penghasilan graduan unggul universiti ini bilamana konteks pengisian daripada kerangka kerjasama strategik UTeM bersama rangkaian industri dunia,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Hazwan pula berkata, proses pengajian di UTeM adalah komprehensif dan beracuan Revolusi Industri 4.0 yang mana membentuknya dengan kemahiran perindustrian yang mana amat membantu dalam proses merekabentuk dan pembuatan sesebuah produk.

Ujarnya, hasil pembelajaran di UTeM juga membuatkannya seperti sudah berpengalaman dalam bidang perindustrian dan pengisian itu menjadi suntikan hebat kepadanya sebagai ketua jurutera bagi penghasilan kereta perisai pertama negara.

MILDEF International Technologies membangunkan kenderaan berperisai mobiliti tinggi 4×4 untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Beliau belajar di UTeM sepanjang empat tahun sejak 2011 hingga 2015 menceritakan penuntut universiti itu dilengkapkan dengan kepakaran teori dan kemahiran berkaitan jentera perindustrian terkini dan bertaraf global.

“Di samping itu para penuntut juga melalui tempoh masa yang agak panjang pembelajaran secara amali mesin berteknologi tinggi di samping pembelajaran daripada tenaga akademik UTeM yang berpengalaman luas dalam bidang industri multinasional dari seluruh dunia,” katanya.

Beliau merakamkan penghargaan buat UTeM yang telah mencorakkan beliau menjadi seorang jurutera profesional bertaraf dunia dan berharap UTeM terus terus melahirkan graduan unggul menyumbangkan kepakaran kepada negara dan dunia. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mildef perkenal kereta perisai buatan Malaysia