Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pimpinan Parti Amanah Negara (PAN) digesa supaya mengkaji semula hubungan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kedudukan parti tersebut dalam Pakatan Harapan (PH).

Gesaan itu dibuat oleh PAN kawasan Bukit Bintang selepas PKR menerima tiga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Amanah di Johor dan dua di Selangor yang melompat.

Senario ini mengeruhkan lagi hubungan serta mencalarkan semangat setiakawan antara parti-parti dalam Pakatan Harapan.

”Kami juga menyokong penuh kenyataan Datuk Seri Salahuddin Ayub (Timbalan Presiden Amanah) yang menyesali tindakan parti rakan PH yang menerima ADUN-ADUN Amanah yang melompat.

‘Tindakan ini melambangkan tiada kesepakatan dalam gabungan yang dibentuk,” katanya kenyataan bersama oleh Ketuanya, Ahmad Asri Talib; Timbalan, Ahmad Thaari Abdul Rahim; Ketua Pemuda, Sheikh Khuzaifah; Ketua AWAN, Sharifah Juanie; Ketua Warda,
Fatihah Salahuddin dan Ketua Arif, Ismail Othman

Semalam. sebuah portal melaporkan sekurang-kurangnya tiga lagi ADUN Amanah dari Johor, disahkan menyertai PKR.

Penyertaan ke PKR – yang merupakan sekutu Amanah dalam PH – membabitkan ADUN Senggarang Khairuddin A Rahim; Adun Serom Faizul Amri Adnan; dan Adun Mahkota, Muhamad Said Jonit.

Mengulas perkara itu, pimpinan Amanah Bukit Bintang menegaskan stategi politik parti-parti dalam PH sepatutnya berteraskan pembelaan nasib rakyat yang terkesan atas caca marba pengurusan kerajaan Perikatan Nasional yang masih tiada keabsahan.

Dan bukannya menzalimi sesama rakan parti dalam pakatan dalam persiapan menghadapi PRU ke-15 jika parlimen dibubarkan, kata mereka.

Berdasarkan Global Corruption Barometer 2020 oleh Transparency International yang melibatkan responden seramai 20,000 orang di 17 negara di rantau Asia, hampir sepertiga daripada responden mempunyai persepsi negatif iaitu ahli parlimen adalah mereka yang terlibat gejala rasuah.

”Justeru, kami juga menyarankan agar akta anti lompat parti dikaji dan diperhalusi bagi mengekang amalan lompat parti daripada terus menjadi barah proses demokrasi di Malaysia,” ujar mereka. – MalaysiaGazette