Datuk Hajiji Noor. foto HAZROL ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Kerajaan negeri Sabah membenarkan kapal bukan konvensional (NCS) atau kumpit dari Indonesia dan Filipina memasuki perairan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) dan kapal NCS Malaysia melalui perairan ESSZONE ke negara-negara itu bermula Jumaat ini.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, kebenaran itu dibuat bagi membolehkan aktiviti perdagangan barter dan pemindahan dilaksanakan semula setelah aktiviti itu digantung sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di seluruh Sabah dikuatkuasakan pada 13 Oktober tahun lepas.

“Perdagangan barter dan pemindahan merupakan aktiviti yang menyumbang kepada ekonomi negeri Sabah. Aktiviti ini umumnya menggunakan mod pengangkutan kapal NCS bagi membawa barangan dari Sabah ke Filipina dan Indonesia serta sebaliknya.

“Bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 dari luar negara, penggunaan kapal NCS bagi aktiviti ekonomi perdagangan barter dan pemindahan ini telah digantung seketika sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Hajiji berkata, semua pemain ekonomi dalam sektor ekonomi tersebut hendaklah sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelakkan wujudnya kluster baharu COVID-19.

Beliau berkata, SOP tersebut ialah kru kapal bebas daripada COVID-19; kru tidak dibenarkan turun ke daratan dan proses pemunggahan dilakukan syarikat tempatan; semua kapal masuk dan keluar hendaklah melalui laluan ditetapkan; dan mematuhi SOP, peraturan serta perundangan sedang berkuatkuasa.

“Adalah diharapkan dengan kebenaran ini, para peniaga dan pengusaha yang terlibat dalam ekonomi perdagangan barter dan pemindahan dapat kembali bangkit dan menyumbang kepada ekonomi negeri Sabah,” katanya. – Bernama