Muhyiddin Yassin

KANGAR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan harapan agar semua parti politik yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), terus kekal bersama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bagaimanapun berkata, ia terpulang kepada pimpinan parti masing-masing untuk menentukan pendirian yang sebaliknya.

“Saya fikir tidak jadi apa-apa masalah walaupun kita mahu melihat gabungan parti yang ada terus kekal abadi sampai ke depan kerana rakyat suka.

“Apa pun, itu saya serahkan kepada pimpinan parti-parti lain, tapi dalam PN, Alhamdulillah keadaan masih kukuh,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Negeri Perlis, Klinik Kesihatan Kampung Gial, di Kangar hari ini.

Muhyiddin berkata, semalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah bermesyuarat dan kenyataan rasmi berhubung pendirian parti mengenai perkara itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudd

Beliau berkata, mesyuarat bersama pimpinan Pas juga telah diadakan dan parti itu telah menyatakan pendirian kukuh untuk terus kekal dalam PN.

“Kita rancang dan akan terus perkukuhkan kerjasama antara parti dengan tumpuan masa depan untuk pilihan raya akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette