Steven Choong

JOHOR BAHRU –  Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong menafikan dirinya telah menerima RM20 juta untuk memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional.

Steven berkata, beliau tidak menerima walaupun satu sen, tetapi sekadar meminta Perdana Menteri menyediakan platform kepadanya untuk berbakti.

Kata Steven, pelbagai pihak bagaimanapun memfitnahnya termasuk mendakwa kononnya beliau terlibat dalam ketirisan cukai.

“Sebagai akauntan bertauliah, tidak mungkin saya boleh terus berada dalam bidang ini jika saya lari cukai,” katanya kepada China Press.

Mengenai tindakan meninggalkan PKR, Steven berkata, beliau tidak keluar parti, tetapi telah dipecat.

“Saya sokong Perdana Menteri kerana beliau berjanji untuk beri persada untuk membantu pengundi serta perusahaan kecil dan sederhana.

“Tentang apakah jawatan itu, saya serah kepada Perdana Menteri,” katanya.

Menurutnya, pelbagai masalah di Tebrau termasuk aduan perusahaan kecil dan sederhana serta syarikat asing hanya boleh diselesaikan melalui koordinasi pelbagai kementerian.

Mengenai label yang diterimanya sebagai “orang Azmin” , Steven berkata, beliau tidak berada di mana-mana kem dalam PKR.

“Apa yang berlaku sekarang tidak ada kaitan dengan kem,” katanya. – MalaysiaGazette