Dewan Rakyat
Hannah Yeoh merupakan salah seorang dalam kumpulan Ahli Parlimen wanita yang berusaha mahukan Parlimen peka gender.

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen wanita di negara ini bertekad menjadikan Dewan Rakyat sebagai Parlimen yang peka gender sebagaimana termaktub dalam garis panduan Kesatuan Antara Parlimen (IPU).

Mereka menyifatkankan, kesaksamaan gender merupakan perkara berkepentingan bagi setiap lelaki dan wanita serta pra-syarat kepada sistem demokrasi tulen.

Kumpulan itu yang terdiri daripada 33 ahli Parlimen wanita turut mahu menjadikan Parlimen sebagai institusi sensitif terhadap isu gender dan meraikan penyertaan yang seimbang antara lelaki serta wanita.

Katanya, parlimen lebih berpotensi untuk mencapai kesaksamaan gender dalam masyarakat, sekali gus memenuhi mandat demokratik.

“Parlimen yang sensitif gender akan dapat memenuhi keperluan dan kepentingan setiap lelaki dan wanita dari aspek komposisi, struktur, operasi, kaedah serta corak kerjanya.

“Justeru, membuka ruang untuk penyertaan penuh wanita dan menawarkan suatu contoh atau model yang positif dengan mempromosikan kesaksamaan gender dan pengupayaan wanita kepada masyarakat di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

“Hasrat untuk Parlimen Malaysia menjadi sebuah institusi yang mempunyai ciri-ciri seperti yang digariskan oleh Kesatuan Parlimen Antarabangsa akan kami usahakan bersama melalui beberapa cara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kumpulan itu turut mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita Sedunia esok dengan tema tahun ini, “Memilih Untuk Mencabar”.

Ahli Parlimen wanita dalam kumpulan itu ialah Fuziah Salleh (Kuantan), Datuk Seri Azalina Othman (Pengerang), Teresa Kok (Seputeh), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (Parit Sulong), Datuk Seri Nancy Shukri (Batang Sadong), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Pandan).

Datuk Seri Rohani Abdul Karim (Batang Lupar), Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh), Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi), Kasthuri Patto (Batu Kawan), Teo Nie Ching (Kulai), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Hanifah Hajar Taib (Mukah) dan Hannah Yeoh (Segambut).

Turut membarisi kumpulan itu ialah Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Seri Rina Mohd Harun (Titiwangsa), Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang), Datuk Christina Liew Chin Jin (Tawau), Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew (Wangsa Maju), Yeo Bee Yin (Bakri).

Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Natrah Ismail (Sekijang), Rubiah Wang (Kota Samarahan), Rusnah Aluai (Tangga Batu), Wong Shu Qi (Kluang), Noorita Sual (Tenom), June Leow Hsiad Hui (Hulu Selangor), Alice Lau (Lanang), Vivian Wong (Sandakan) dan Nor Azrina Surip @ Nurin Aina (Merbok).

Menurut kumpulan itu lagi, mereka mahu Parlimen memberi keutamaan kepada Rang Undang-Undang serta dasar yang mengarah kepada kesaksamaan gender.

“Seperti memastikan pembangunan prasarana di Parlimen mengambil kira keperluan gender serta dasar berkaitan penjawat awam yang bertugas beserta Ahli Parlimen juga merupakan dasar merangkumi keperluan gender.

“Kami yang tersenarai ini mengajak rakan sejawat, Ahli Parlimen yang lain untuk turut serta, sempena Hari Wanita Sedunia tahun ini, dalam ikrar untuk mengangkat martabat Dewan Rakyat menjadi Parlimen yang peka gender.

“Wakil masyarakat beserta orang ramai juga digalakkan untuk menggesa Ahli Parlimen masing-masing menurunkan tandatangan dan seterusnya komited dalam menghayati hasrat yang murni ini,” katanya. – MalaysiaGazette