Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah berucap pada Program IM Prihatin Bersama Komuniti Terminal Sentral, Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN – Sekurang-kurangnya seorang calon wanita daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan dipilih dalam PRU-15 kelak.

Itu janji Pengerusi Bersatu Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah.

Menurutnya, pengumuman itu dibuat hasil pertemuan beliau dengan Srikandi Pahang yang dianjurkan oleh Srikandi Malaysia baru-baru ini.

‘’Untuk mencapai matlamat dasar wanita negara meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus kepimpinan daripada pelbagai sektor bukan sahaja kepimpinan politik seharusnya dipegang wanita.

‘’Sebagai Pengerusi Bersatu saya komited untuk memastikan sekurang-kurangnya ada seorang calon wanita daripada Bersatu tidak kira bertanding di mana,” katanya selepas Program IM Prihatin Bersama Komuniti Terminal Sentral hari ini.

Menurut Saifuddin, walaupun keputusan akhir akan dibuat oleh majlis pimpinan tertinggi parti namun beliau juga merangkap Ahli Parlimen Indera Mahkota akan cuba sedaya-upaya untuk menyakinkan pucuk pimpinan.

Dalam perkembangan lanjut, Saifudin juga dijadualkan merangka pertemuan tidak rasmi yang pertama antara beberapa wakil dari Bersatu, Pas dan Gerakan Pahang pada petang ini.

“Saya akan Bertemu dengan Yang Berhormat (YB) Ustaz Rosli Jabar, Pengerusi Badan Pehubungan Pas Negeri Pahang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Lumpur dan Pengerusi Gerakan Pahang Ranndy Yap Kim Heng,” katanya.

Bagi Perikatan Nasional (PN) Pahang, katanya, pertemuan kali pertama berikutan penyertaan Gerakan sebagai anggota baru  dan berharap dapat menubuhkan jawatankuasa baru.

‘’Jadi saya rasa tiada masalah untuk kita menubuhkan jawatankuasa secepat mungkin,” ujarnya.

Merujuk pertemuan lalu, Saifudin yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia itu yakin dan menyifatkan sinergi antara Pas Pahang adalah senada dengan pimpinan pusat.

‘’Pertemuan dengan YB Rosli Jabar sebelum ini dan sambutan yang diberikan oleh Pas sangat baik, Pas Pahang satu nada dengan Pas Pusat seperti kita baca kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden Pas) dua hari lepas.

‘’Saya bertemu Datuk Dominic, Presiden Gerakan pada hari Khamis lepas dan Naib Presiden Gerakan komited untuk memastikan kerajaan stabil.

‘’Begitu juga pertemuan saya dengan YB Rosli sangat mesra,” katanya.- MalaysiaGazette