Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Seorang pelajar tingkatan lima antara enam suspek yang ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan mengedar dadah sekitar Pulau Pinang.

Tangkapan ke atas suspek berusia lingkungan 17 hingga 26 tahun itu dibuat dalam beberapa serbuan di sekitar Kampung Permatang Batu, Butterworth serta Nibong Tebal semalam.

Dalam semua serbuan itu polis merampas lebih 3.2 kilogram pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM114,865.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, kegiatan haram itu terbongkar apabila pihak polis menahan dua lelaki berusia 17 dan 26 tahun yang sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di Kampung Permatang Batu.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas pelajar sekolah itu tidak menemui barang kes, namun pemeriksaan ke atas rakannya yang juga pekerja kilang menemui dadah Methamphetamine seberat 76 gram (g) bernilai RM7,600.

“Pemeriksaan lanjut kita menemui satu beg plastik hitam mengandungi dadah methamphetamine seberat 830 gram (g) bernilai RM29,000 dalam raga motosikal yang digunakan kedua-dua suspek.

“Berpandukan maklumat suspek pihak polis menyerbu sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan di Taman Irama, Butterworth sebelum menemui lebih 2.1 kilogram methamphetamine dianggarkan bernilai RM72,000 serta satu paket berisi dadah heroin seberat 112g bernilai RM5,165.

“Hasil soalan siasat suspek mendedahkan lokasi tersebut merupakan lokasi menyimpan bekalan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Shafee, susulan itu, polis menyerbu Flat Desa Wawasan di sini sebelum menahan seorang pekerja kontrak berusia 31 tahun.

“Polis kemudian menyerbu sebuah bengkel terletak di Sungai Bakap, Nibong Tebal dan menahan tiga lagi lelaki terdiri daripada mekanik, kelindan lori serta penganggur.

“Serbuan terakhir itu membawa kepada penemuan 40 paket plastik lutsinar mengandungi heroin seberat 31.42 g dan satu paket methamphetamine seberat 0.81 g,” ujarnya.

Menurut Shafee, secara keseluruhannya polis merampas dadah lebih 3.2 kg yang dianggarkan bernilai RM114,865 termasuk menyita kereta dan tiga motosikal dalam keempat-empat serbuan itu.

Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette