Chamil Wariya

KUALA LUMPUR – Malaysian Press Institute (MPI) menyambut baik keputusan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menubuhkan sebuah yayasan bagi menjaga kebajikan wartawan/pengamal media negara ini terutamanya mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya berkata, penubuhan ini perlu disegerakan kerana menurut Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) sejak dua hingga tiga tahun yang lalu, seramai 3,000 pengamal media hilang pekerjaan akibat gangguan digital dan pandemik Covid-19.

Beliau juga meminta kerajaan memberikan peruntukan secukupnya bagi mempastikan yayasan ini berfungsi dengan lebih berkesan.

Selain daripada penubuhan yayasan tersebut, MPI juga memohon kerajaan menyediakan pakej rangsangan bagi membantu organisasi media yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Ini penting kerana jika tidak dibantu lebih ramai lagi pengamal media akan kehilangan pekerjaan malah ada entiti media terpaksa menghentikan operasinya.

MPI turut mencadangkan pakej rangsangan tersebut boleh berbentuk pengurangan cukai korporat, pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan terhadap produk media dan pembelian ruang iklan secara agresif oleh kerajaan untuk menyebarkan mesej-mesej kepada khalayak menerusi media.

”Pakej rangsangan ini penting untuk mempastikan media di negara ini kekal sihat dari segi ekonomi dan kewangan bagi membolehkan mereka memainkan peranan sebagai penyedia maklumat yang sahih dalam memerangi berita-berita palsu,” kata Chamil dalam kenyataan di sini.

Dalam pada itu, katanya, MPI juga menyokong cadangan Kelab Akhbar Kebangsaan yang mencadangkan supaya pengamal media diberi keutamaan mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19 kerana terdedah kepada risiko jangkitan. – MalaysiaGazette

Tubuh yayasan bantu pengamal media kehilangan kerja – Zahidi