KUALA LUMPUR – Sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak puas hati dengan penjelasan Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berhubung kematian seorang tahanan di dalam lokap baru-baru ini.

Mohamed Mokhsein sebelum itu mendakwa tahanan berusia 54 tahun itu membunuh diri ketika bersendirian.

Bagaimanapun, Eliminating Deaths & Abuse In Custody Together (EDICT) mempersoalkan mengapa tiada pemantauan keadaan sel yang dilengkapi dengan sistem rakaman kamera litar (CCTV) tertutup selama 24 jam.

”Mengapakah tiada anggota yang ditugaskan untuk memantau CCTV dan pergerakan para tahanan ketika berada di dalam lokap?” soal NGO itu dalam satu kenyataan hari ini.

EDICT mendakwa penjelasan Mohamed Mokhsein mengenai kematian itu amat meragukan dan pihaknya tidak dapat menerima alasan tersebut.

Lantaran itu, EDICT mahu inkues terhadap kematian tahanan tersebut diadakan segera supaya kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan.

”EDICT berpandangan, tidak ada sebab bagi sesiapa yang ditahan untuk mati ketika berada di dalam tahanan sekiranya terdapat pemantauan dan pelaksanaan tugas seperti yang diamanahkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tahanan ditemui mati tergantung di jeriji besi pintu lokap