Motosikal milik kontraktor Indonesia yang ditinggalkan yang dirampas polis manakala pemuda ehailing yang disaman tiada lesen memandu dan memiliki salinan MyKad dilaminate kerana kad pengenalan asal hilang dalam sekatan Ops Ekzos Bising oleh JSPT Selangor di Lebuhraya Persekutuan petang tadi

PETALING JAYA – Seorang warga Indonesia meninggalkan skuter yang dinaikinya bagi mengelak dikenakan tindakan polis yang melakukan pemeriksaan di lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran susur keluar Sungai Way dalam satu operasi hari ini.

Tindakan individu berkenaan hanya disedari polis selepas menemui kenderaan tersebut ditinggalkan di tepi kawasan semak berhampiran sebuah terowong.

Pemeriksaan yang dijalankan ke atas slkuter itu, polis menemui beg berisi pakaian.

Warga asing itu dipercayai meninggalkan skuter ketika kebanyakan motosikal sedang berhenti untuk diperiksa dalam Ops Khas Ekzos Bising Bersepadu.

Dalam operasi itu, sebanyak 138 saman dikeluarkan dengan 67 saman membabitkan kesalahan nombor plat yang gagal mematuhi spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan 27 saman dikelarkan atas kesalahan tiada lesen memandu.

Selain itu, sebanyak 21 saman dikeluarkan kerana kesalahan mengubahsuai ekzos dan 11 saman kerana tiada cermin sisi serta tiga saman kerana lesen memandu tamat tempoh.

Sebanyak 436 buah motosikal diperiksa dalam operasi itu.

Operasi itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar dan JPJ pada jam 3.30 petang hingga 6.30 petang.

Sementara itu, seorang pemuda berusia 21 tahun yang menunggang motosikal tanpa lesen memandu didapati tidak membawa MyKad.

Pekerja penghantar makanan e-hailing yang hanya membawa salinan MyKad itu memberi alasan kad pengenalannya hilang dibenar meneruskan perjalanan selepas saman dikeluar ke atas beliau kerana tidak memiliki lesen memandu. – MalaysiaGazette