Mustafa Shah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mahu kerajaan meneliti semula pelaksanaan undang-Undang Ordinan Darurat yang mengenakan denda sehingga RM10,000 kepada pesalah melanggar SOP Perintah kawalan Pergerakan (PKP).

Exconya, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata, secara asasnya beliau menyokong penuh segala usaha kerajaan memastikan orang ramai mematuhi SOP PKP bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, kata beliau, pelaksanaan denda RM10,000 itu masih banyak kelemahan yang memerlukan kepada penelitian supaya agensi pelaksana dapat membuat keputusan tepat dan wajar sebelum mengeluarkan denda.

“Bukan saja kadarnya tinggi, kesalahan yang tertakluk kadar denda ini juga masih kabur. Kesamaran ini menyebabkan pihak yang menjalankan tugas mengenakan saman sama rata terhadap setiap kesalahan dilakukan.

“Lebih malang lagi apabila agensi pelaksana juga masih kabur bidang kuasa siapa yang sepatutnya menentukan kadar denda sama ada Kementerian Kesihatan (KKM) atau mahkamah,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mustafa Shah menjelaskan, kekeliruan itu perlu ditangani sebelum pelaksanannya.

Hari ini, katanya, rakyat mula bersuara menzahirkan rasa tidak puas hati mereka dengan kadar denda itu.

“Jadi, sewajarnya kerajaan mengeluarkan satu garis panduan yang jelas dalam hal ini supaya rakyat tidak terkeliru, kerana yang akhirnya rugi adalah kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast