Gambar hiasan.
MUTAKHIR ini program vaksinasi kebangsaan yang telah dilancarkan oleh kerajaan
Malaysia bermula pada bulan ini. Kumpulan pertama iaitu kumpulan barisan hadapan
menjadi antara kumpulan pertama yang telah menjayakan program ini. Pelbagai reaksi yang ditunjukkan oleh masyarakat semasa program vaksinasi ini dijalankan. Ada yang sangat gembira dengan kehadiran vaksin COVID-19 ini kerana ini adalah petanda baik bahawa wabak ini akan berakhir.
Ada juga pula segelintir masyarakat yang masih tidak percaya bahawa vaksin COVID-19 ini menjadi bahan yang menghalang penyakit ini berlaku kerana imunisasi badan manusia telah menghasilkan antibodi immunisasi badan apabila COVID-19 menyerang badan kelak. Walau bagaimanapun pengambilan vaksin ini bukannya sesuai untuk
diambil oleh semua lapisan masyarakat. Bagaimana pula dengan golongan ibu mengandung dan menyusukan bayi? Adakah mereka boleh mengambil vaksin ini?
Vaksin atau suntikan immunisasi merupakan salah satu kaedah pencegahan penyakit
berjangkit dan berbahaya. Wanita hamil dan ibu yang menyusu juga termasuk daripada
individu yang berisiko tinggi mendapat penyakit berjangkit dan berbahaya ini. Bahkan wanita hamil yang dijangkiti COVID-19 lebih berisiko mengalami pelbagai penyakit, komplikasi dan kematian yang teruk berbanding wanita yang tidak hamil. Kebanyakan wanita hamil juga mempunyai keadaan latar belakang masalah perubatan yang lain dan ini menyebabkan risiko mereka semakin meningkat. Faktor lain yang perlu dipertimbangkan juga adalah tahap penularan wabak COVID-19 di dalam komuniti setempat yang meningkatkan risiko jangkitan bagi golongan berisiko tinggi.
Menurut Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA), vaksin COVID-19 dibenarkan
untuk diberi kepada wanita hamil atau ibu yang menyusu jika mereka memilih untuk
menerima vaksin. Sebelum menerima vaksin, mereka perlu berbincang dengan doktor pakar yang berkaitan untuk membincangkan semua faktor mengenai vaksin dan kehamilannya. Penting untuk diketahui bahawa belum ada kajian yang secara khusus menilai vaksin COVID-19 kepada wanita hamil dan ibu yang menyusu, walaupun ada beberapa wanita hamil yang telah mendaftar dalam kajian vaksin COVID-19. Kajian daripada aspek perkembangan toksik dan pembiakan awal juga tidak menunjukkan kesan buruk terhadap tahap pembiakan atau perkembangan janin. Oleh yang demikian, tidak ada masalah daripada sudut keselamatan vaksin COVID-19 kepada golongan ini.
Sebenarnya, terdapat banyak garis panduan vaksin COVID-19 telah dikeluarkan
badan-badan berautoriti di dunia untuk wanita hamil dan ibu yang menyusu. Jawatankuasa Penasihat Amalan Imunisasi, American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG) dan Society for Maternal-Fetal Medicine (SMFM) mengesyorkan agar vaksin COVID-19 yang dibenarkan oleh FDA tidak boleh ditahan daripada individu hamil yang memilih untuk menerima vaksin. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menyatakan bahawa tiada alasan khusus untuk mengatakan akan ada risiko yang lebih besar daripada manfaat vaksinasi bagi wanita hamil.
Wanita hamil yang berisiko  tinggi terkena COVID-19 seperti pekerja kesihatan dan mereka yang mempunyai komorbiditi atau masalah kesihatan adalah individu yang berisiko tinggi. Mereka boleh divaksin dengan berunding terlebih dahulu dengan pakar
perubatan bagi memastikan keselamatan bayi dan ibu yang mengandung. Vaksin ini tidak
mengandungi virus hidup, jadi vaksin COVID-19 tidak menimbulkan risiko bagi bayi dan
tidak perlu untuk menunda atau menghentikan penyusuan.
Vaksin COVID-19 juga tidak akan mempengaruhi tahap kesuburan manusia. Wanita
hamil yang diberikan vaksin dengan vaksin COVID-19 yang ada sekarang, tiada alasan untuk menunda kehamilan setelah menyelesaikan siri vaksin. Kekeliruan mengenai isu ini timbul disebabkan laporan palsu yang muncul di media sosial, mengatakan bahawa protein lonjakan pada coronavirus ini sama dengan protein lonjakan lain yang disebut syncitin-1, yang terlibat dalam pertumbuhan dan penempelan plasenta ketika kehamilan.
Laporan palsu tersebut mengatakan bahawa vaksin COVID-19 akan menyebabkan tubuh badan wanita melawan protein lonjakan yang berbeza ini serta mempengaruhi kesuburannya. Kedua-dua protein lonjakan ini sama sekali berbeza, dan vaksin COVID-19 tidak akan mempengaruhi kesuburan wanita yang ingin hamil, termasuk melalui kaedah persenyawaan in vitro. Semasa ujian vaksin Pfizer, 23 sukarelawan wanita yang terlibat dalam kajian ini hamil, dan satu-satunya dalam percubaan yang mengalami keguguran kehamilan belum menerima vaksin yang sebenarnya, tetapi vaksin plasebo.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengatakan bahawa wanita hamil
sebagai kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat penyakit COVID-19 yang teruk. Oleh yang demikian, mendapatkan vaksin COVID-19 di peringkat awal merupakan salah satu kaedah pencegahan yang penting bagi wanita hamil. Data terkini melaporkan peningkatan risiko kemasukan unit rawatan rapi, keperluan untuk sokongan mesin pernafasan, dan kematian khusus kepada wanita hamil dengan COVID-19 tanpa gejala. Keadaan morbiditi atau masalah kesihatan serta beberapa faktor sosioekonomi meningkatkan risiko COVID-19 yang lebih teruk. Ibu yang menyusu tidak dianggap berisiko tinggi terkena penyakit teruk berbanding dengan wanita yang tidak hamil.
Namun, pastikan anda bercakap dengan pakar perubatan anda mengenai kaedah penjagaan yang khusus, sebelum membuat apa-apa keputusan. Di dalam Islam, kita dikehendaki megamalkan konsep tabayyun dalam kehidupan kita. Konsep ini mengajar kita supaya menyelidik serta mendapat kebenaran berita yang disampaikan seseorang.Ini untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Allah SWT menjelaskan perkara ini di dalam al-Quran, firmannya:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik
membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”
Ibn Jarir berkata: Hendaklah kamu tabayyun dengan makna tangguh seketika maklumat atau berita yang sampai kepada kamu sehingga kamu makrifah dan yakin akan kebenarannnya. Jangan sekali-kali kamu gelojoh untuk menerimanya. (Lihat Jami' al-Bayan fi Ta'wil al-Quran, 22/286).
Maka tanyalah kepada pakar pakar perubatan dan ahli dalam bidang perubatan berkaitan
dengan pengambilan vaksin untuk mengelakkan daripada sebarang kekeliruan didalam
masyarakat. Wallahualam.
Dr Muhamad Rafiqi Hehsan
Pensyarah Perubatan Pelatih (Anaesthesiology)
Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia.
Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi, Fakulti Pergigian,
Universiti Sains Islam Malaysia.
Exco Wanita Remaja dan kanak kanak (WARAK)
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast