Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang bakal berlangsung Sabtu ini perlu berupaya menyerlahkan kestabilan parti di setiap peringkat berlandaskan semangat kebersamaan, kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada parti.

Ia termasuk ketaatan terhadap pucuk pimpinan terutama institusi presiden.

Kestabilan itu penting sekiranya UMNO mahu diyakini sebagai institusi terbaik untuk memimpin negara serta dilihat sebagai parti yang ikhlas dalam mempertahankan agenda kesatuan Melayu-Islam, kata Ketua Bahagian UMNO Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, kestabilan juga penentu jatuh bangun UMNO dalam pilihan raya akan datang selain perhimpunan yang sama merupakan medan cukup kritikal untuk akar umbi berbicara secara telus dan ikhlas khususnya tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan kelangsungan dan masa depan parti. .

“Kestabilan jugalah yang UMNO boleh tawarkan kepada rakyat berasaskan pengalaman yang panjang.

“Agenda kesatuan Melayu Islam yang diperjuangkan UMNO di samping kesungguhan membela kaum-kaum lain bukan sahaja akan menjamin kestabilan masa depan UMNO malah wajib dipertahankan demi melakar masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” katanya yang juga Menteri Luar menerusi kenyataan hari ini.

Justeru Hishammuddin berkata, semasa bersidang kelak, bincanglah dengan penuh hikmah dan bijaksana serta meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kebijaksanaan Majlis Tertinggi dan pucuk pimpinan untuk menahkhoda parti ke arah kestabilan yang amat diperlukan ketika ini.

“Inilah juga wadahnya, untuk kita rapatkan saf, kukuhkan kesatuan serta sama-sama menentukan hala tuju yang jelas demi masa depan parti kita.

“Marilah kita sama-sama berganding usaha dan memanjatkan doa kepada yang esa, agar perhimpunan pada hujung minggu ini dapat membawa seluruh kebaikan kepada parti,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kesatuan Melayu perlu perbetulkan dahulu sudah sekian lama dasar apartheid DEB 30% untuk majoriti Melayu Bumiputras supaya minoriti bukan Melayu dan bukan Bumiputras meraih 70% ekonomi. Contohilah Azeris ambil balik Nagorno-Karabah selepas sekian lama PBB tak boleh diharap.

Comments are closed.