JOHOR BAHRU – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menetapkan kadar zakat fitrah pada RM7 dan RM 10 pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri, Tosrin Jarvanti berkata, kadar zakat fitrah RM7 bagi umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras daripada jenis Super Tempatan.
“Manakala kadar RM10 bagi umat Islam di negeri ini yang menjadikan makanan hariannya beras selain daripada jenis Super Tempatan (Beras Import) seperti Beras Wangi, Beras Basmathi dan lain-lain.
“MAINJ juga telah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi penetapan dua kadar zakat fitrah tahun ini,” katanya di sidang media menegnai kadar zakat fitrah 2021/1442 di sini hari ini
Tosrin berkata, kadar pembayaran zakat boleh dibuat menerusi tiga cara iaitu menerusi atas talian, amil zakat fitrah dan kaunter zakat MAINJ di setiap daerah.
Bayaran melalui atas talian boleh dibuat di Zakat Johor Online Payment di http://www.epayment.maij.gov.my.
“Tahun lepas bayaran zakat 100 peratus dibuat menerusi atas talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kami banyak menerima aduan dari orang kampung menyatakan kesukaran mereka. Tahun ini seramai 1,648 amil telah dilantik seluruh negeri ini dan diberi tauliah bagi menjalankan tugas memungut fitrah.
“Semua pihak termasuk amil dan pembayar zakat mesti mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) selaras Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),”katanya.
Kadar zakat fitrah Johor ditetap pada kadar RM7, RM10
Katanya, sasaran itu mengambil kira keadaan ekonomi semasa, dengan nisbah 60 peratus adalah mereka yang membayar zakat sebanyak RM10 dan 40 peratus bagi pembayar zakat RM7.
“Umat Islam digalakkan menunaikan zakat fitrah di awal Ramadan bagi membolehkan agihan kepada fakir dan miskin disempurnakan sebelum hari raya.
“MAINJ memperuntukkan sebanyak RM14.8 juta bantuan hari raya kepada fakir dan miskin pada tahun ini. Seramai 33,025 ketua keluarga layak menerima bantuan ini melibatkan 7,846 bagi keluarga fakir dan 25,179 bagi keluarga miskin.
“Selain itu, seramai 10,659 saudara baru dan orang asli menerima bantuan raya RM300 setiap orang dengan jumlah perbelanjaan RM2.2 juta,” katanya. – MalaysiaGazette