KUALA LUMPUR – Empat lokaliti di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu mulai esok hingga 23 April ini.
Lokaliti itu melibatkan Kampung Gayang di Tuaran, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Taman Permata dan Taman Seri Labuk di Sandakan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi Kampung Gayang, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan 38 ujian saringan, dengan lima daripadanya dilaporkan positif Covid-19.
Kata beliau, KKM juga mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh seminggu di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.
“Atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Gayang, Tuaran bermula 10 hingga 23 April ini.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat penularan jangkitan dari kawasan berisiko ke luar lokaliti ini serta membolehkan KKM melakukan ujian saringan secara bersasar ke atas semua penduduk,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut beliau, bagi ILP, Taman Permata dan Taman Seri Labuk telah menunjukkan peningkatan kes secara mendadak di kawasan berkenaan dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.
Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan PKPD Lokap Tahanan Pati Kompleks KDN Setia Tropika, Johor Bahru, Johor dan Lokap Tahanan Pati Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Bangunan Sultan Iskandar.
Kata beliau, penamatan itu bermula esok selepas KKM mengesahkan tiada lagi kes baharu dilaporkan.
“Sehingga kini, KKM telah melakukan 83 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya sebanyak 61 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“Namun, KKM juga mengesahkan tiada lagi kes baru dilaporkan dengan kes terakhir direkodkan pada 29 Mac lalu sebanyak 59 kes.
“Pada masa sama, semua kes positif telah menerima rawatan, manakala kontak rapat diasingkan dan dipantau,” katanya.
Dengan itu, katanya, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di dua lokap berkenaan mulai esok. – MalaysiaGazette
















