USIM rai 2,686 graduan dalam majlis konvokesyen secara hibrid

KUALA LUMPUR – Seramai 2,686 graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meraikan Majlis Konvokesyen secara hibrid susulan pandemik Covid-19.

Menurut kenyataan USIM, Majlis Konvokesyen USIM Kali Ke-18 telah bermula 6 hingga 18 April ini dan dilaksanakan dalam 23 sesi sepanjang tempoh tersebut bertempat di Dewan Tuanku Canselor.

Uniknya, majlis kali ini dilaksanakan secara hibrid selari dengan norma baharu bersama pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan Covid-19.

Majlis Pengisytiharan Konvokesyen telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud Canselor USIM pada 6 April lalu.

Majlis Konvokesyen USIM Kali Ke-18 telah bermula 6 hingga 18 April ini dan
dilaksanakan dalam 23 sesi sepanjang tempoh tersebut bertempat di Dewan Tuanku Canselor.

Manakala, jumlah kehadiran untuk 7 hingga 18 April ini adalah terhad malah setiap graduan akan ditetapkan dengan melakukan rakaman gambar graduan sewaktu menerima skrol menggunakan teknik skrin hijau.

Mengangkat tema Sambutan 20 Tahun USIM iaitu ‘Berjasa, Berbudi Untuk Semua’, majlis turut meraikan 33 graduan sulung dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan iaitu Ijazah Sarjana Komunikasi Media Baharu dengan Kepujian dan seorang graduan bagi Doktor Falsafah Undang-undang.

Sementara itu, Naib Cancelor Prof. Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata, selaras dengan misi USIM untuk menghasilkan ilmuwan, pemimpin dan profesional yang kompeten berasaskan tradisi keilmuan Islam, nilai-nilai luhur agama dan budaya demi kesejahteraan sejagat, USIM telah menyediakan kurikulum dan perkhidmatan berkualiti bertaraf antarabangsa untuk semua pelajar.

“Anda semua adalah profesional Muslim yang bakal menjadi CEO syarikat multi-national, yang bakal menerajui agensi-agensi kerajaan, ataupun yang bakal berkhidmat di seluruh pelosok dunia.

“Gunakanlah ilmu, kemahiran dan nilai murni yang telah dipupuk di kampus USIM ini untuk berjihad demi agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

Setakat ini, sehingga ke Majlis Konvokesyen Ke-17 USIM, seramai 22,669 alumni dalam pelbagai bidang pengajian dan kepakaran telah dilahirkan dan mereka inilah yang menyambung legasi USIM untuk berjasa dan berbudi kepada ummah, agama dan negara. -MalaysiaGazette