KUALA LUMPUR – Penggunaan internet meningkat dengan ketara bagi perkhidmatan berkaitan e-Pembelajaran, e-Kesihatan, e-Kerajaan, e-Dagang dan e-Hiburan pada 2020 susulan pandemik Covid-19.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peratusan capaian isi rumah kepada Internet menunjukkan peningkatan kepada 91.7 peratus pada tahun 2020 berbanding 90.1 peratus pada 2019.

Jelasnya, capaian oleh isi rumah terhadap telefon bimbit dan komputer juga masing-masing meningkat kepada 98.6 peratus dan 77.6 peratus pada 2020.

“Pelaksanaan survei yang dilaksanakan ketika pandemik Covid-19 telah memberi kesan yang mana penggunaan Internet di kalangan masyarakat Malaysia berusia 15 tahun ke atas meningkat dengan ketara kepada 89.6 peratus pada 2020 berbanding 84.2 peratus pada 2019 iaitu meningkat sebanyak 5.4 peratus.

“Aktiviti Internet yang paling popular di Malaysia adalah menyertai rangkaian sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Uzair berkata dari hasil itu, peratusan membuat pesanan barangan atau perkhidmatan atas talian melalui telefon, Whatsapp dan Facebook telah meningkat daripada 22.5 peratus pada 2019 kepada 54.4 peratus pada 2020.

“Malah, penggunaan internet untuk mencari maklumat atau perkhidmatan berkaitan kesihatan turut meningkat sebanyak 12 peratus pada 2020, dengan 61.9 peratus pengguna internet mencari maklumat atau perkhidmatan berkaitan kesihatan berbanding 45.2 peratus pada 2019.

Penggunaan ICT oleh individu 2020

“Tambahan lagi, kira-kira 61.9 peratus masyarakat Malaysia yang menggunakan perbankan internet pada 2020 telah meningkat daripada 50.5 peratus pada 2019.

“Tanpa mengambil kira saluran pembelajaran atas talian melalui internet, individu yang mengikuti kursus tidak formal atas talian meningkat daripada 9.5 peratus kepada 20.8 peratus pada 2020,

“Manakala peningkatan yang ketara dalam peratusan individu yang mengikuti kursus formal atas talian iaitu daripada 8.1 peratus pada 2019 kepada 18.0 peratus pada 2020,” ujarnya. -MalaysiaGazette