Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berjaya mengutip bayaran saman berjumlah RM4.22 juta setakat ini menerusi aplikasi dan web MyBayar Saman.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melanjutkan tawaran diskaun 50 peratus bagi saman trafik menerusi aplikasi MyBayar Saman untuk tempoh empat hari lagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, sejak dilancarkan pada 25 Mac lalu, lebih RM73 juta bayaran saman berjaya dikutip menerusi aplikasi tersebut dalam masa 18 hari sehingga semalam.

Menurutnya, jumlah itu membabitkan sebanyak 659,998 saman yang dibayar.

“Atas permintaan dan sambutan yang menggalakkan daripada orang awam, JSPT melanjutkan empat hari tawaran diskaun 50 peratus sehingga Khamis yang boleh dibayar menerusi MyBayar Saman.

“Seramai 708,030 pengguna juga telah mendaftar melalui aplikasi mudah alih tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Pada 25 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengumumkan penawaran diskaun sebanyak 50 peratus bagi saman terpilih kepada mereka yang membuat pembayaran melalui aplikasi MyBayarSaman.

Abdul Hamid berkata, tawaran diskaun yang berlangsung selama 18 hari itu bersempena Sambutan Hari Peringatan Polis ke-214.

Semua jenis kompaun saman diberikan diskaun 50 peratus kecuali enam kesalahan utama iaitu memotong garis kembar, memandu di lorong kecemasan, memandu melebihi had laju ditetapkan di lebuh raya, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan tidak berhenti di lampu isyarat. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast