Along Eyzendy dan isterinya, Hamidah Mohd. Yatim.

KUALA LUMPUR – Pelakon Mohd. Eyzendy Mohd. Aziz, 42, atau lebih dikenali sebagai Along Eyzendy mengaku berasa berdebar sebelum menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang hari ini.

Beliau yang dijadualkan menjalani pembedahan pada pukul 6.30 pagi mengharapkan doa orang ramai supaya proses pembedahan yang turut membabitkan isterinya, Hamidah Mohd. Yatim, 36, itu berjalan dengan lancar.

“Perasaan saya agak berdebar terutama selepas doktor memberi penerangan bahagian mana pada anggota badan perlu dibedah, ditebuk, dimasukkan dan dikeluarkan.

“Ini pertama kali saya jalani pembedahan sebesar ini. Saya pohon semua orang doakan ­kesejahteraan saya dan isteri. Mudah-mudahan ada keberkatan pada Ramadan yang mulia ini,” katanya memetik laporan Kosmo! di sini.

Along Eyzendy yang disahkan mengalami masalah buah ­pinggang rosak pada tahun 2019 bakal menerima buah pinggang baharu yang didermakan oleh isterinya sendiri.

Pasangan suami isteri itu akan melakukan pemindahan buah pinggang di Hospital Selayang dekat sini.

Along Eyzendy berkata, Hamidah lebih tenang berban­ding ­beliau kerana isterinya itu ­pernah menjalani pembedahan melahirkan anak.

Menurutnya, selepas ­pem­bedahan, beliau dan isteri dimaklumkan akan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi untuk ­pemantauan rapi pihak hospital.

Kata beliau lagi, untuk tempoh dua minggu ­seterusnya beliau akan berada dalam ­bilik penga­singan tanpa boleh ­menerima sebarang tetamu bagi mengelak berlaku jangkitan.

Jelasnya, beliau pasrah ­dengan ujian (sakit buah pinggang) yang dihadapinya itu ­kerana menganggap ia ­sebagai penghapus dosa-dosa kecil.

“Namun, saya dan isteri berasa agak sedih kerana tidak dapat menjalani ibadah puasa esok (hari ini). Kami akan menggantikannya sejurus pulih sepenuh­nya nanti,” katanya. – MalaysiaGazette