Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

KUALA LUMPIR – Hasrat negara untuk menjadi hab pendidikan tinggi di rantau ini akan terbantut sekiranya kerajaan hanya mengehadkan 15 hingga 20 universiti sahaja yang beroperasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, agenda itu kini berada pada landasan yang betul dan Malaysia mampu menjayakannya.

“Pandangan seperti yang disuarakan segelintir pihak sebelum ini bercanggah dengan hasrat kerajaan yang mahukan Malaysia dikenali di arena pendidikan tinggi global.

“Penubuhan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh misalnya mampu memberi lebih banyak peluang kepada pelajar tempatan dan antarabangsa untuk melanjutkan pengajian yang mereka minati di situ,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai pandangan yang mengatakan negara hanya memerlukan 15 hingga 20 universiti awam dan swasta.

Ini berikutan lambakan universiti yang dilihat menjejaskan kualiti graduan setelah tamat pengajian, malah IPT didakwa hanya mengaut keuntungan, selain menyumbang terhadap kadar pengangguran.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan dan kerjasama dengan agensi akreditasi antarabangsa, justeru aspek kualiti tidak wajar dipertikaikan.

Katanya, pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan agensi akreditasi antarabangsa supaya tahap jaminan kualiti pendidikan MQA berada pada tahap yang sama.

“Kita sudah ada jalinan kerjasama dengan banyak agensi akreditasi dari luar negara termasuk dari Australia, New Zealand, Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan negara ASEAN.

“Semua inisiatif ini dijalankan supaya pelajar tempatan mudah menyambung pengajian atau mendapat pekerjaan di luar negara kerana program yang diikutinya diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast