ACP Mohamad Zainal Abdullah

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berhubung kes pengawal peribadi dipukul kerana berpuasa oleh majikannya akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara, Isnin depan, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah.

Mohamad Zainal berkata, pihaknya dalam proses untuk menyiapkan kertas siasatan tersebut.

“Untuk kes melibatkan pengawal keselamatan dipukul, kita hampir melengkapkan siasatan dan akan merujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada Isnin bersama-sama siasatan daripada IPD Klang Selatan.

“Memandangkan reman suspek utama tamat hari ini, jadi kita akan serahkan kepada IPD Klang Selatan. Kejadian di Klang Selatan lebih serius berbanding di Dang Wangi,” kata Mohamad Zainal dalam sidang medianya di IPD Dang Wangi, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kes ahli perniagaan mencederakan dan mengugut bunuh dua pengawal peribadinya kerana berpuasa.

Dalam kejadian pertama di sebuah Kondominium di Jalan Pinang, kedua-dua bodyguard itu ditampar dan dipukul di kepala dengan telefon bimbit oleh suspek utama kerana tidak suka kedua-dua pengawal peribadinya sedang berpuasa ketika bertugas.

Kemudian kedua-dua suspek dibawa oleh majikan berkenaan ke lokasi kedua di sebuah rumah di Batu Nilam, Bukit Tinggi Klang sebelum mengambil pistol daripada salah seorang mangsa dan mengacukan ke arahnya sambil mengugut membunuhnya.

Kedua-dua mangsa kemudian turut dipukul dengan rotan sehingga darah membeku di belakang badan sebelum mereka membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di Hospital Klang.

Siasatan ke atas majikan berkenaan yang turut terlibat kegiatan haram dengan rampasan wang dolar Amerika dan ketulan emas 100 kilogram di sebuah rumah Klang.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette