Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. Foto SYAFIQ AMBAK, 27 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membidas tindakan sebuah sekolah menengah di Johor yang dikatakan menetapkan syarat sesetengah aktiviti kokurikulum kepada pelajar tingkatan satu termasuk sukan, hanya terbuka untuk satu kaum sahaja.

Menteri Belia dan Sukan itu menegaskan tindakan dilakukan pihak sekolah berkenaan adalah tidak wajar dan terkebelakang.

“Sukan sepatutnya ‘color blind’, melangkaui sempadan budaya dan menjadi ejen perpaduan. Tiada polisi atau pendekatan sebegini dalam Dasar Sukan. Kita mahu pendemokrasian sukan bermula di sekolah,” katanya hari ini.

Reezal Merican berkata demikian menerusi Twitter beliau, yang membalas ciapan seorang pengguna akaun Twitter (@sharwinsubra05) yang mempersoalkan tindakan sekolah menengah di Batu Pahat, Johor itu.

Pengguna berkenaan turut memuat naik gambar sekeping surat yang mengandungi senarai kelab dan persatuan serta sukan yang didakwa terbuka untuk satu kaum sahaja.

Senarai itu antara lain menyatakan kelab Bahasa Cina hanya terbuka untuk pelajar kaum Cina sahaja, bola sepak (Melayu), bola keranjang (Cina), ping pong (Cina), bola jaring (Melayu) dan sepak takraw (Melayu).

Semakan Bernama mendapati tindakan pihak sekolah berkenaan turut dikecam netizen yang rata-ratanya mempersoalkan kewajaran pengasingan aktiviti kokurikulum mengikut satu kaum.

Pengguna @gustiadipati9 dalam ciapan balasnya menyatakan ‘Koko (aktiviti kokurikulum) bahagi je lah sama rata. Kenapa nak asingkan ikut bangsa’.

Seorang lagi pengguna @Eexyz85 pula mahu tindakan dikenakan terhadap pihak sekolah itu.

“Pihak berkuasa sila ambil tindakan ke atas sekolah ini,” katanya.

Ciapan itu setakat ini telah menerima lebih 600 ulang ciap dan lebih 300 ‘likes’. – MalaysiaGazette