Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pada sidang media mingguan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Putrajaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Lebih sejuta dos vaksin Pfizer Covid-19 akan diterima kerajaan bulan hadapan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Turut diterima 500,000 dos suntikan vaksin Sinovac daripada China.

“Bekalan akan diterima mengikut minggu, dalam pada itu kerajaan juga akan menerima bekalan vaksin Sonivac daripada Pharmaniaga secara pukal sebanyak 1,800 liter yang boleh menghasilkan 2.6 juta dos.

“Bagaimanapun bekalan itu masih menunggu kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya pada sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bersama Menteri Kesihatan, Datuk Dr Adham Baba, hari ini.

Kata Khairy, untuk April tiga lagi penghantaran vaksin Pfizer akan diterima Malaysia pada Rabu hingga Jumaat ini yang merangkumi 177,840 dos.

Dalam pada itu, Khairy berkata, sejumlah 1.1 juta penduduk di negara ini telah menerima suntikan vaksin pertama dan kedua mereka.

Daripada jumlah itu, 701,812 adalah penerima dos pertama dan dos kedua adalah 443,029.

Bilangan dos vaksin yang telah dihantar pula adalah 1,559,540 dos.

“Kadar vaksinasi kita bergantung kepada bekalan yang sedi ada, kalau kita lihat kepada bilangan dos yang dihantar menunjukkan bahawa kadar suntikan vaksin di negara ini adalah pada kadar yang sangat berkesan,” katanya.

Smentara itu, Khairy menafikan dakwaan bahawa Malaysia ketinggalan dalam jadual pemberian vaksin Covid-19.

Menurut beliau, pemberian vaksin untuk rakyat negara ini mengikut jadual tertentu dan fasa-fasa yang telah direncanakan.

“Saya ingin memaklumkan bahawa kita mengikuti jadual PICK, ada yang dakwa kenapa lambat? Kalau kita lihat negara lain ikut jadual.

“Di United Kingdom mereka ikut umur 50 hingga 60 tahun. Di Malaysia, kita ikut jadual kita, fasa dua adalah untuk warga emas dan penyakit komorbiditi dan juga OKU,” katanya.

Orang ramai yang mendaftar dalam program imunisasi dinasihatkan agar bersabar kerana fasa ketiga akan bermula sebaik fasa kedua diselesaikan. – MalaysiaGazette