Yuen Wai Lam

KAJANG – Seorang pemuda bernama Yuen Wai Lam sedang dikesan polis dalam membantu siasatan berkaitan kes pergaduhan sekumpulan lelaki di hadapan sebuah restoran di kawasan Damai Perdana Cheras, dekat sini pada 9 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, alamat terakhir suspek berusia 26 tahun di No. 3, Jalan Penghulu 12/3, Bandar Mahkota Cheras, 43200 Batu 9 Cheras.

Katanya, Wai Lam dikenalpasti boleh membantu siasatan polis berhubung insiden pergaduhan itu yang kini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.40 malam.

”Dalam kejadian tersebut, seorang mangsa telah dipukul lebih kurang 10 orang lelaki yang bersenjatakan botol kaca dan kerusi plastik yang diambil dari restoran tersebut

”Akibatnya, mangsa mengalami luka di bahagian kepala dan lebam-lebam di bahagian tangan dan badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kejadian itu, polis telah menahan empat lelaki dan kini sedang mencari Wai Lam untuk membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat bolehlah berhubung dengan mana-mana balai yang berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Insp. Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730. – MalaysiaGazette