Solat tarawih yang dilakukan bersama keluarga Sheila Rusly di sebuah pusat boling.

KUALA LUMPUR – Pelakon dan penerbit popular, Sheila Rusly masih sempat melakukan ibadah dengan bersolat tarawih secara berjemaah walaupun berada di sebuah pusat boling di Petaling Jaya.

Menerusi satu hantaran video di Instagramnya, Sheila berkongsi suasana menjalani solat tarawih di pusat boling yang difahamkan terletak di pusat membeli-belah, One Utama, Petaling Jaya.

“Malam kelapan. Tiada lagi alasan. Islam itu syumul (sempurna dan menyeluruh). Iftar (berbuka puasa) dan tarawih bersama dengan keluarga besar saya,” katanya.

Menerusi video yang dikongsikan, kelihatan suaminya, Jinggo sedang mengimamkan solat sambil diikuti kumpulan jemaah lelaki dan perempuan di belakangnya.

“Solat Isyak dipimpin oleh Tuan Haji Jinggo (suami), manakala solat sunat tarawih dipimpin oleh saudara @itsokaymarr,”ujarnya.

Biarpun suasana di pusat boling tersebut kelihatan sibuk dengan segelintir pengunjung dilihat sedang bermain boling, namun aktiviti ibadah tidak terganggu dan selesai dengan salam bersalaman.

Menerusi keterangan pada kapsyen, difahamkan video suasana solat tarawih di pusat boling tersebut dirakam oleh bakal menantunya yang juga pelakon, Elisya Sandha. – MalaysiaGazette