Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan sesuatu dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (dua kiri) pada Majlis Penyampaian Amanat di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 23 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Kerajaan menyedari tindakan segelintir pemborong atau peniaga yang mengambil kesempatan  menaikkan harga barangan keperluan pada musim-musim tertentu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, senario itu dapat lihat sejak akhir-akhir ini apabila banyak keluhan daripada rakyat mengenai dakwaan kenaikan harga barangan sepanjang Ramadan dan menjelang musim perayaan tidak lama lagi.

Kenaikan harga barang sudah tentunya membebankan pengguna terutamanya golongan berpendapatan rendah, peniaga dan penjaja kecil, katanya.

“Tindakan pihak kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMM) bermula 21 April lalu adalah salah satu langkah menyekat kenaikan harga barangan keperluan semasa Ramadan dan menjelang Hari Raya AIdilfitri kelak.

“Bagaimanapun, saya ingin melihat supaya KPDNHEP dan lain-lain agensi kerajaan berkaitan barganding bahu mengambil langkah yang lebih proaktif dalam menangani isu tersebut dan melakukan pemantauan serta penguatkuasaan yang berterusan.

“Kerajaan perlu memastikan agar aktiviti tidak beretika yang menekan dan membebankan pengguna dapat dibanteras dengan lebih menyeluruh dan berkesan.

“Pada masa sama, rakyat juga diseru memainkan peranan aktif untuk menyalurkan maklumat kepada pihak kerajaan,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Lawatan dan Penyampaian Amanat Perdana Menteri ke KPDNHEP di sini hari ini.

Sebelum itu beliau turut melawat Pusat Arahan Penguatkuasa (ECC) di kementerian itu.

Turut hadir Menteri PDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Bank Negara Malaysia baru-baru ini telah mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang dalam lingkungan 6 hingga 7.5 peratus tahun ini.

Jelas beliau, pemulihan aktiviti domestik yang stabil ditambah dengan peningkatan permintaan luaran menjadi faktor asas yang mendorong keyakinan tersebut.

Menurutnya, bagi mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi tersebut, kerjasama dari semua pihak adalah amat penting bagi memastikan ekonomi negara kita terus berada pada landasan yang tepat.

“Oleh yang demikian, saya berharap agar warga KPDNHEP akan terus memainkan peranan lebih efektif dalam mengawal selia sektor perdagangan dalam negeri, terutamanya berkaitan dengan perdagangan pengedaran bagi memastikan program dan gerak kerja ekonomi negara supaya sentiasa lancar dan dapat dirancakkan.

“Justeru saya percaya bahawa saudara dan saudari mempunyai komitmen yang tinggi sebagai penjawat awam dalam membantu kerajaan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dalam usaha untuk mengekang penularan wabak ini dan memastikan kelancaran aktiviti perekonomian.

“Ini termasuklah tugas saudara-saudari dalam memastikan kelangsungan aktiviti perdagangan pengedaran, yang dapat dilihat terutamanya semasa tempoh awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula bulan Mac 2020.

“Syabas diucapkan kerana kementerian ini telah berjaya menangani situasi pembelian panik (panic buying) dan memastikan bekalan barangan keperluan asas, pelitup muka dan hand sanitizer adalah mencukupi sewaktu tempoh tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast