Imam The Pearl Hotel, Mohd Arif Ab Rahim mengimamkan jemaah menunaikan solat terawikh di Hotel The Pearl Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID, 20 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Hotel The Pearl Kuala Lumpur di sini mungkin menjadi hotel bertaraf bintang pertama di negara ini yang mengadakan solat tarawih sepanjang Ramadan ini.

Solat berkenaan diadakan di bilik mesyuarat di tingkat tujuh yang boleh menampung sehingga 50 jemaah mengikut penjarakan fizikal bagi mematuhi prosedur Operasi Standard (SOP).

Pengunjung hotel dan kakitangannya berpeluang bersolat tarawih yang diimamkan oleh Ustaz Mohd. Arif Ab Rahim.

Pengarah Jualan hotel berkenaan, Yusri M. Yusof berkata, tujuan dianjurkan solat sunat muakad itu bagi membolehkan pengunjung menunaikan solat tarawih berjemaah di dalam hotel tanpa perlu bergegas pergi ke tempat lain selepas berbuka puasa.

“Ramai tetamu yang berumur tidak mahu meninggalkan solat tarawih dan bulan Ramadan pula setahun sekali sahaja.

“Jadi kita fikir, sambil beramal kita turut menggalak tetamu tidak perlu balik untuk bersolat tarawih.

“Selepas berbuka mereka bersolat jemaah iaitu Maghrib, Isyak dan tarawih serta selepas itu boleh sambung makan. Itu adalah kelebihan berbuka di sini dan tiada sekatan kena balik lepas solat tarawih kerana ada moreh sampai pukul10 malam,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Pengarah Jualan The Pearl, Yusri M.Yusof bercakap ketika di temubual oleh Malaysia Gazette di Hotel The Pearl Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID, 20 APRIL 2021.

Menurut Yusri, pada minggu pertama solat tarawih diadakan memang tidak dapat dinafikan jumlah jemaah agak berkurangan .

Namun jelas beliau, ia kini semakin bertambah apabila hujung minggu bermula Jumaat hingga Ahad.

“Kami mula anjur solat tarawih pada 15 April lalu di mana hari pertama agak perlahan tetapi setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad memang ramai termasuk solat Maghrib dan Isyak berjemaah. Ramai tetamu tidak sangka ada solat berjemaah di sini selain kami turut sediakan sejadah dahi.

“Saya peribadi beranggapan hotel ini yang pertama anjur solat tarawih sejak 2019 dan kita sambung semula tahun ini dan ada hotel lain hendak buat digalakan untuk kebaikan semua umat islam,” katanya. – MalaysiaGazette

Imam, Mohd Arif Ab Rahim bersama jemaah yang lain menunaikan solat terawikh sepanjang bulan Ramadan di Hotel The Pearl Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 APRIL 2021.