Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya, A'zlan Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Situasi politik Malaysia hari ini bakal memberikan kesan kepada rakyat keseluruhannya dalam semua aspek terutamanya kelangsungan hidup rakyat yang terkesan dengan ketidakstabilan politik yang tiada berkesudahan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya, A’zlan Abu Bakar berkata, ia menjadikan kerajaan hari ini tiada keyakinan bukan sahaja dalam sistem demokrasi negara, bahkan menjejaskan keyakinan negara luar dalam sebarang kerjasama mahupun pelaburan.

“Bagi UMNO seharusnya melihat kepada penyelesaian kepada sistem demokrasi negara yang dapat memberikan nafas baharu kepada negara daripada meletakkan keutamaan kepada demokrasi parti itu sendiri.

“Ini termasuklah dengan wujudnya desakan daripada beberapa pemimpin atasan untuk diadakan pemilihan parti sebelum berakhirnya Jun 2021,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang pertama selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dijadualkan diadakan hari ini amat penting untuk melihatkan peranan UMNO itu sendiri terhadap rakyat.

Katanya, mesyuarat MKT UMNO kali ini akan membincangkan soal pemilihan parti dan juga tempoh sokongan UMNO kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kedua-dua perkara ini melibatkan demokrasi yang memberikan kesan. Namun sudah pasti kesan yang diterima adalah berbeza tujuannya. Pemilihan parti hanyalah memberi kesan kepada ahli UMNO itu sahaja.

“Namun soal sokongan UMNO kepada Kerajaan PN yang menuntut Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pastinya akan memberikan penyelesaian kepada untung nasib rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Sebagai ahli UMNO, beliau akan memberikan tekanan kepada kepimpinan supaya meletakkan kepentingan rakyat pada saat ini melebihi dari isu dalaman parti yang dilihat sengaja diada-adakan.

“Penyelesaian kepada kestabilan politik dan demokrasi tanah air pastinya menyelamatkan sesebuah kerajaan untuk terus melihat keutamaan terhadap penyelesaian kelangsungan hidup rakyat.

“Cukuplah untuk mengheret parti ini terus dicatur oleh mereka yang tidak merasai duka sedih saat 22 bulan UMNO jatuh dahulu.

“Sudah pasti saat itu kita diuji tanpa kuasa dan membuktikan bahawa kepimpimpinan UMNO dari peringkat cawangan, bahagian sehinggalah pusat terus istiqamah berkorban segala untuk terus mendokong semangat UMNO bangkit kembali sehingga hari ini. Inilah Nafas Baru UMNO,” katanya.

Selain itu, UMNO hari ini merupakan UMNO nafas baharu di mana parti sudah melalui proses ini sejak kalahnya Barisan Nasional pada PRU14 lepas dan selama itulah UMNO bangkit semula untuk menjadi sandaran rakyat dalam keadaan dan kemampuan yang berbeza dari sebelum ini.

“Kita diterima semula oleh rakyat dalam beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini. Oleh itu, jangan mensia-siakan nafas baharu ini hanya semata-mata kerana kita sedang diuji dengan tampuk kuasa berkerajaan hari ini,” katanya.

Dalam sejarah Malaysia sejak merdeka, UMNO tidak memimpin kerajaan selepas PRU14, namun parti itu juga menjadi penyelamat kepada rakyat selepas jatuhnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akibat pengkhianatan.

“Satu-satunya Presiden UMNO yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan yang dibentuk bersama sokongan UMNO adalah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Inilah cabaran kepada beliau dan ahli UMNO sendiri.

Sudah pasti kerana menghormati sistem demokrasi Malaysia, pembentukan kerajaan harus dipilih daripada pilihan raya itu sendiri.

“Jangan kerana kelebihan kuasa yang tiada kepada Presiden UMNO untuk berada dalam kerajaan hari ini membuatkan kita menghukum kesemua struktur parti.

“Dari peringkat cawangan, bahagian hinggalah ke pusat yang telah bersama-sama selama ini mendokong UMNO dalam 22 bulan bangkit semula dalam keadaan tiada apa sehinggalah ke hari ini,” katanya.

Beliau menggesa akar umbi dan pemimpin mendokong matlamat nafas baru UMNO sejak kekalahan dalam PRU14 untuk BN tampil kembali dalam PRU15 dengan imej nafas baru UMNO yang sebenar.

“Imej UMNO bukan sahaja terletak kepada institusi Presiden UMNO semata-mata, tetapi nafas baru yang akan dipertaruhkan oleh kepimpinan parti untuk menghadapi PRU15 itu sebenarnya.

“Jika gementar untuk melompat parti, jangan pula perjudikan ahli demi kepentingan diri, tiba masanya UMNO kembali menerajui, kami pelapis dengan nafas baru sedia mengganti tempat mereka yang melompat parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette