Pengunjung mematuhi prosedur operasi standard ketika mengunjungi bazar ramadhan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bazar Ramadhan Stadium Shah Alam, Selangor, Foto SHAFIY ZUL, 25 APRIL 2021.

SHAH ALAM – Pengunjung sanggup beratur panjang sehingga lebih 100 meter semata-mata mahu mendapatkan pelbagai juadah menarik yang dijual di Bazar Stadium Shah Alam, Seksyen 13 di sini.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati orang ramai tidak kisah beratur sehingga lebih setengah jam di tengah panas sementara menunggu giliran untuk masuk ke bazar.

Terdapat dua laluan masuk yang dikawal oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan petugas Darul Ehsan Facilities Management (DEFM) bagi memastikan setiap pengunjung mengimbas kod MySejahtera masing-masing serta memeriksa suhu badan.

Keadaan di dalam bazar juga teratur dan tidak terlalu sesak kerana adanya penjarakan antara setiap satu gerai.

Penganjur bazar, Shafiq Izzat berkata, terdapat 117 gerai yang disediakan di bazar tersebut mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negeri.

Penganjur Bazar Stadium Shah Alam, Shafiq Izzat semasa ditemubual ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bazar Ramadhan Stadium Shah Alam, Selangor, Foto SHAFIY ZUL, 25 APRIL 2021.

“Hari minggu memang paling ramai pengunjung kerana tahun lalu pun kita tiada bazar Ramadan jadi tahun ini mendapat sambutan menggalakkan.

“Dalam tapak bazar juga kita hanya peruntukkan seramai 500 pengunjung dalam satu-satu masa dengan menggunakan sistem tiket bernombor yang kita berikan kepada setiap pengunjung.

“Kita juga nasihatkan kepada orang awam supaya tidak mengambil masa yang terlalu lama ketika membeli juadah untuk beri laluan kepada pengunjung lain lebih-lebih lagi ketika Sabtu dan Ahad,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut, Shafiq berkata, peniaga dan pengunjung turut memberi kerjasama yang baik sepanjang penganjuran bazar Ramadan tersebut dengan mematuhi SOP yang dikeluarkan.

Jelasnya lagi, gerai-gerai yang sering mendapat perhatian umum seperti gerai Nasi Mandy Chef Ammar diletakkan di kawasan pintu masuk bagi memudahkan pelanggan beratur panjang dengan penjarakan fizikal.

Sementara itu, seorang pengunjung Ridzuan Mohamed, 31, berkata, dia berpuas hati dengan SOP di bazar Ramadan itu selain menyediakan deretan gerai yang bersih.

Pengunjung, Ridzuan Mohamed semasa ditemubual mengenai prosedur operasi standard ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bazar Ramadhan Stadium Shah Alam, Selangor, Foto SHAFIY ZUL, 25 APRIL 2021.

“Pengunjung ramai datang ke sini kerana suasananya yang selesa dan juga menyediakan banyak menu-menu menarik perhatian antaranya Chef Ammar dan beberapa lagi gerai lain.

“Saya pun dari Kajang ambil kesempatan untuk datang ke sini pada hujung minggu bagi mencari juadah-juadah enak.

“Memang beratur agak panjang pada mulanya tapi sebabkan cuaca pun baik jadi tidak ada masalah,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Adibah Zakaria, 26, dia sanggup datang dari Sepang semata-mata mahu mendapatkan Nasi Mandy Chef Ammar yang tular di media sosial sejak hari pertama bazar tersebut beroperasi.

Pengunjung, Adibah Zakaria ketika semasa ditemubual mengenai prosedur operasi standard ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bazar Ramadhan Stadium Shah Alam, Selangor, Foto SHAFIY ZUL, 25 APRIL 2021.

“Bagi saya bazar di sini memang menarik, makanan punya ada pelbagai pilihan selain banyak gerai yang viral.

“SOP pengunjung dan peniaga juga dalam keadaan baik dan teratur, jadi kita selesa untuk membeli,” katanya. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast