Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin hari ini menafikan dakwaan yang menyatakan sejumlah pekerja syarikat Genting Group menerima vaksinasi COVID-19 atas arahan beliau.

Beliau berkata penetapan kumpulan penerima vaksin fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan adalah mengikut Garis Panduan Penetapan Senarai Petugas Barisan Hadapan seperti yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) pada 1 Mac 2021.

“Semasa tempoh pelaksanaan fasa pertama program imunisasi, janji temu vaksinasi diuruskan oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) negeri mengikut senarai yang turut disediakan di peringkat negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Bagaimanapun terdapat beberapa buah negeri yang beranggapan mereka boleh mula memberikan vaksinasi kepada kumpulan penerima lain apabila selesai menjalankan vaksinasi kepada penerima fasa pertama,” tambahnya.

Bagi kes di Pahang, Khairy berkata CITF negeri telah membuat keputusan untuk memberikan vaksin kepada pekerja di sektor pelancongan melibatkan 56 buah hotel di Kuantan, Genting Highlands, Cameron Highlands, Jerantut, Raub, Mentakab, Bentong, Bukit Tinggi dan Bukit Fraser.

“Keputusan pemberian ini dibuat apabila negeri Pahang telah selesai memberikan vaksinasi dos pertama sementara menunggu selang masa bagi dos kedua, kepada kesemua penerima yang tersenarai dalam kumpulan keutamaan fasa pertama,” katanya.

Beliau berkata CITF Persekutuan hanya mengetahui tentang keputusan CITF negeri ini selepas mereka memulakan vaksinasi kepada kumpulan berkenaan.

“Susulan daripada kejadian ini, saya telah menulis surat kepada kerajaan negeri Pahang pada 12 April 2021, bahawa keputusan untuk menyenaraikan kumpulan awal penerima vaksin adalah di bawah bidang selia JKJAV. Sehingga mana-mana kumpulan disenaraikan, keputusan senarai keutamaan terdahulu adalah terpakai,” katanya.- BERNAMA