Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin (dua kanan) menerima cenderamata daripada Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid (kiri) pada Majlis Penutupan Pertandingan Tilawah Al-Quran, Hafazan dan Azan Piala YB Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tahun 1442H/2021M di Ibu Pejabat JBPM, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 28 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melihat ada keperluan untuk melaksanakan operasi sanitasi awam melibatkan premis-premis seperti kompleks beli-belah

Ia ekoran peningkatan pengunjung menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana kompleks beli-belah kini menjadi tumpuan awam untuk mendapatkan barangan kelengkapan yang diperlukan.

“Memandangkan terdapat trend peningkatan angka Covid-19, mungkin ada keperluan lakukan sanitasi awam untuk pusingan seterusnya ke atas pasar-pasar awam atau kompleks beli-belah yang semakin menjadi tumpuan.

“Tetapi kita akan lihat kaedah untuk mensanitasi kerana mereka ini mempunyai own private arrangement namun sekiranya mereka perlukan bantuan bomba, kita akan susun dan ia juga bergantung kepada nasihat Pegawai Kesihatan Daerah.

“Manakala di sekolah pula, sebelum pembukaan sesi persekolahan kita sudah jalankan sanitasi tetapi ada juga keadaan ad hoc apabila ada sekolah yang mempunyai kes positif Covid-19, mereka minta bomba untuk sanitasi, itu kita laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada kakitangan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terdiri daripada ibu tunggal, kumpulan B40 dan orang kelainan upaya di sini hari ini.

Terdahulu Zuraida menghadiri majlis penutupan Pertandingan Tilawah Al-Quran, Hafazan dan Azan Piala Menteri KPKT 2021.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata, JBPM turut menyediakan bantuan daripada segi logistik dalam urusan penghantaran pulang pelajar dari pusat pengajian ke kampung halaman menjelang Syawal ini.

“Ada juga logistik di mana kita sediakan pengangkutan bagi pelajar universiti atau kolej untuk pulang ke kampung, JBPM ambil bahagian untuk menghantar mereka. Bukan itu sahaja kerana kita juga sanitasi bas dan barangan yang mereka bawa.

“Namun ia semua bergantung kepada keputusan atau pemakluman dari Kementerian Pengajian Tinggi,” ujarnya. – Malaysia Gazette