Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

KUALA LUMPUR – Pengamal media yang menganggotai Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) dan persatuan wartawan Sabah dan Sarawak akan menerima suntikan vaksin Covid-19 bermula Mei ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya sudah menerima senarai petugas media di bawah NUJ dan persatuan wartawan Sarawak dan Sabah.

“Saya dan Dr Adham telah menerima senarai 1,500 petugas media di bawah NUJ dan persatuan wartawan Sarawak dan Sabah.

“Kita mula vaksinasi kepada petugas media pada Mei,” katanya selepas berakhir sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19, hari ini.

Sebelum ini Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, dilapor berkata, kerajaan bersetuju meletakkan pengamal media dalam senarai keutamaan menerima vaksin Covid-19, tertakluk kepada bekalan vaksin.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, program vaksinasi di Sarawak dijangka selesai selewat-lewatnya Ogos ini memandangkan negeri itu perlu mengadakan pilihan raya negeri dalam tempoh berkenaan.

“Saya telah memberi jaminan kepada kerajaan negeri Sarawak bahawa kita akan selesaikan vaksinasi di Sarawak selewatnya-lewatnya bulan Ogos tahun ni,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast