pekerja warga Bangladesh yang dikuarantin kerana positif Covid-19 di rumah kongsi pekerja asing mati ditikam dengan pemutar skru dan barang peribadinya dicampak dari rumah kongsi oleh suspek yang kemudian berjaya diberkas polis dalam kejadian Jumaat lalu di Banting.

KUALA LUMPUR – Pergaduhan lima lelaki warga Bangladesh yang dikuarantin berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripadanya mati dibunuh manakala dua lagi cedera di Bandar Perindustrian Mahkota Banting pada Jumaat lalu

Rentetan kejadian itu, dua suspek yang telah melarikan diri dan bersembunyi selepas terlibat dalam kejadian itu senegaranya itu berjaya ditangkap polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 9.14 malam mengenai kejadian bunuh itu.

Menurut beliau, siasatan polis mendapati, pada 28 April lalu, pihak pengurusan kilang telah membuat ujian saringan Covid-19 terhadap semua pekerja asing yang tinggal di kawasan rumah kongsi itu yang menjadi penempatan mereka.

“Hasil saringan Covid-19 ke atas mereka, 30 daripada pekerja asing itu didapati positif Covid-19 dan telah diasingkan (kuarantin) di satu tempat berhampiran dari rumah kongsi tersebut.

“Namun, secara tiba-tiba tercetus pergaduhan dan pertengkaran melibatkan lima lelaki warga Bangladesh yang disaring dan disahkan positif Covid-19 yang mengakibatkan salah seorang mangsa maut manakala dua rakannya cedera selepas ditikam menggunakan sebatang pemutar skru,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Azizan, mangsa berusia 44 tahun telah meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian akibat tikaman disyaki telah mengenai jantungnya.

Menurutnya,siasatan awal polis mendapati punca kejadian ekoran suspek yang mengeluarkan barangan kepunyaan mangsa dari rumah kongsi tanpa kebenarannya.

“Selepas insiden pergaduhan terbabit, dua suspek rakan senegara yang terlibat dalam insiden itu telah melari menyembunyikan diri.

“Namun, dua suspek yang telah diburu polis berjaya dikesan dan ditangkap kira-kira jam 3.30 pagi pada Sabtu selepas didapati bersembunyi di Taman Manggis Jaya, Banting,” katanya.

“Hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek berusia lingkungan 40-an itu mereka akhirnya mengaku terlibat dalam kes bunuh terbabit.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” tegas beliau.-MalaysiaGazette